Jelajah Belanjawan 2021 @ Perak Ulasan Ekonomi Semasa & Kelestarian Alam Sekitar Penting Demi Kelangsungan Sosio-ekonomi Negara
- Lawatan rasmi ke Perak pada 12 September 2020 merupakan kesinambungan kepada Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021 Kementerian Kewangan untuk turun padang dan berjumpa dengan pihak berkepentingan pelbagai industri, bagi mendapatkan maklumbalas mengenai pakej-pakej rangsangan ekonomi dan juga cadangan untuk Belanjawan 2021.
- Berkaitan dengan Pakej PRIHATIN dan PENJANA, rakyat Negeri Perak telah menerima manfaat yang bernilai hampir RM1.69 bilion; manakala perniagaan di negeri ini telah mendapat manfaat yang bernilai RM1.31 bilion. Seterusnya, daripada segi memperkukuhkan ekonomi pula, Kerajaan pusat telah menyalurkan bantuan bernilai RM7.36 juta melalui projek-projek kecil.
- Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan laporan terkini kadar pengangguran negara. Alhamdulillah, kadar pengangguran terkini telah berkurangan kepada 4.7% pada bulan Julai, berbanding 5.3% pada bulan Mei dan 4.9% pada bulan Jun. Pelaksanaan program subsidi upah, program pengekalan pekerjaan dan insentif pengambilan pekerja di bawah PRIHATIN dan PENJANA, telah sedikit sebanyak menyumbang kepada kadar pengurangan pengangguran ini.
- Indikator ekonomi terkini yang lain juga mencerminkan keadaan ekonomi yang sedang pulih secara beransur, seperti nilai jualan pembuatan yang mencatatkan RM119.3 billion, iaitu pertumbuhan 1.9% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu; dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index) yang kembali kepada pertumbuhan positif iaitu 1.2% pada bulan Julai sejak Februari 2020 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
- Kerajaan akan meneruskan usaha menyokong pasaran pekerjaan. Selain daripada mengekalkan dan mewujudkan pekerjaan, Kerajaan sedar bahawa isu sistemik seperti underemployment, capaian keselamatan sosial, serta penyertaan wanita, OKU dan belia perlu ditangani dari segi jangka panjang. Sehubungan itu, Kerajaan sentiasa memantau keadaan dan bersedia mengambil tindakan yang diperlukan.
BELANJAWAN 2021: PENEKANAN KELESTARIAN KEHIDUPAN
- Dari segi Belanjawan 2021, Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil daripada industri sawit di Ipoh, dan beberapa NGO alam sekitar di Hutan Simpan Bakau Matang di Kuala Sepetang. Perbincangan merangkumi keperluan dasar dinamik, sokongan sumber dan kerjasama yang boleh dijalin bagi meningkatkan agenda kelestarian dalam Belanjawan 2021.
- Dalam hal ini, Kerajaan bermatlamat untuk memastikan aspek kelestarian turut diberi penekanan dalam Belanjawan 2021. Kerajaan juga komited untuk memastikan sasaran Roadmap Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2030 (Malaysia Lestari 2030) tercapai, sekaligus memenuhi beberapa matlamat United Nation Sustainable Development Goals (UN SDGs) dalam jangka masa sederhana dan panjang.
- Antara aspek yang penting bagi tema ketiga Belanjawan 2021 dan usaha Malaysia Lestari 2030 ini ialah kelestarian alam sekitar. Baru-baru ini juga, kita telah saksikan lebih 1,200 kawasan di Lembah Klang telah terputus bekalan air susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor. Impaknya bukan sahaja dari segi sosial, iaitu ancaman ke atas nyawa dan kehidupan, tetapi juga dari segi ekonomi. Perniagaan yang bergantung kepada bekalan air bersih terpaksa ditutup apabila sumber air terputus akibat pencemaran oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
- Kebarangkalian kemunculan virus dan wabak penyakit baru juga berkait dengan alam semula jadi. COVID-19 yang dipercayai berpunca daripada hidupan liar telah meninggalkan impak yang mendalam ke atas nyawa dan ekonomi seluruh dunia. Ini jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh mengambil ringan atau menangguh lagi usaha untuk hidup secara lestari. Justeru, kita mesti memahami dan memartabatkan hubungan di antara kelangsungan hidup manusia dan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar. Ancaman seperti banjir, tanah runtuh, wabak penyakit dan sebagainya boleh berlaku jika kita tidak prihatin, dan Kerajaan perlu berbelanja lebih bagi memulihkan keadaan dan melindungi nyawa. Oleh itu, usaha pencegahan (prevention) lazimnya lebih mudah dan cost-effective daripada pemulihan (cure).
- Ramai yang menganggap amalan lestari sebagai satu kos yang boleh dielakkan, tanpa menyedari bahawa amalan tersebut boleh mengurangkan kos yang jauh lebih tinggi lagi disebabkan oleh faktor-faktor luaran. Buat masa ini, pengukuran pencapaian sesebuah perniagaan tidak mengambil kira impak atau kos kepada alam sekitar dan masyarakat secara holistik. Kesedaran perkara ini masih rendah dan perlu ditingkatkan.
- Perniagaan lestari juga harus dirancang secara strategik dan dilaksanakan bagi mewujudkan nilai kepada semua pihak berkepentingan – daripada pelanggan kepada pembekal di peringkat kepenggunaan, hinggalah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa di peringkat global. Jika kita dapat mengubah pendekatan perniagaan, kita akan mampu menyelesaikan isu-isu kritikal dunia, selaras dengan tuntutan UN SDG, dan pada masa yang sama memastikan perniagaan tetap meraih keuntungan berterusan dalam jangka masa panjang.
- Bagi mentakrifkan semula hubungan sosio-ekonomi manusia dan alam sekitar, kita mesti menerapkan kelestarian dalam pemulihan ekonomi pasca COVID19. Kerajaan akan mengkaji perkara ini dari segi perundangan, dasar, pendidikan dan program kesedaran, bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.
Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
12 September 2020