Pilih bahasa anda
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah memulakan program Jelajah Belanjawan 2027 dengan lawatan kerja ke Tawau dan Semporna, Sabah pada 15 hingga 16 Ogos 2026. Lawatan ini memberi tumpuan kepada potensi ekonomi Pantai Timur Sabah, khususnya sektor ekonomi biru yang meliputi perikanan dan akuakultur, aktiviti hiliran, logistik serta rantaian sejuk.
Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 turut diadakan sempena lawatan kerja ini bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah, agensi berkaitan dan pemain industri ini memberi ruang untuk mengenal pasti cabaran serta peluang bagi meningkatkan nilai tambah dan daya saing industri berkenaan.
Pendekatan ini selaras dengan hasrat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang mengangkat ekonomi biru sebagai salah satu bidang strategik negara untuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Sabah mempunyai kelebihan semula jadi yang besar dalam sektor marin dan akuakultur yang berpotensi untuk diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi melalui peningkatan produktiviti, pemprosesan hiliran, pengukuhan rantaian bekalan serta akses pasaran.”
“Belanjawan 2027 akan meneliti langkah yang dapat membantu industri tempatan berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan komuniti setempat,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah.
Dalam memastikan pembangunan ekonomi bergerak seiring dengan kesejahteraan rakyat, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut meninjau pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Pulau Bum Bum, Semporna dan Tawau. Tinjauan ini penting bagi melihat pelaksanaan bantuan secara langsung serta memastikan bantuan Kerajaan sampai kepada penerima yang layak dan mengambil kira keperluan rakyat di lapangan.
Beliau juga melakukan tinjauan ke KA Tun Azizan, aset maritim Tentera Laut Diraja Malaysia, bagi melihat kesiapsiagaan operasi dalam menjaga keselamatan perairan, khususnya di Pantai Timur Sabah. Keselamatan perairan yang terjamin penting bagi menyokong aktiviti perikanan, akuakultur, pelancongan dan ekonomi maritim.
Selain itu, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut melawat Lapangan Terbang Tawau bagi meninjau operasi dan projek peluasan lapangan terbang tersebut. Kesalinghubungan yang lebih baik merupakan antara pemangkin penting dalam menyokong pergerakan rakyat, aktiviti perniagaan dan pelancongan serta pertumbuhan ekonomi Pantai Timur Sabah.
BELANJAWAN 2027: MENDENGAR DENYUT NADI RAKYAT
Kementerian Kewangan (MoF) sedang melaksanakan siri sesi libat urus Belanjawan 2027 bagi mendapatkan pandangan dan cadangan secara langsung daripada rakyat, Kerajaan Negeri, pemain industri, komuniti perniagaan dan pelbagai pemegang taruh, bagi memastikan perancangan Belanjawan berasaskan keperluan sebenar rakyat dan ekonomi serta mengambil kira keutamaan dan potensi pembangunan setiap negeri dan wilayah.
Antara tumpuan utama ialah kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat, pendidikan dankesihatan, akses pembiayaan kepada PMKS, keselamatan awam, keterangkuman golongan rentan serta kelestarian alam sekitar.
Penyediaan Belanjawan 2027 akan dilaksanakan melalui pendekatan yang menyeluruh dan inklusif menerusi perancangan 25 sesi libat urus bersama kementerian, 14 Jelajah Belanjawan Negeri serta tidak kurang 20 sesi Perbincangan Kumpulan Fokus, melibatkan Kerajaan Negeri, industri, institusi kewangan, komuniti perniagaan dan pelbagai lapisan masyarakat.
Belanjawan 2027 turut mengambil pendekatan Outcome Based Budgeting yang mengutamakan keberhasilan peruntukan.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata: "Pendekatan ini menyasarkan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan dapat menyelesaikan masalah rakyat, membuka peluang ekonomi dan menghasilkan impak yang nyata.
“Langkah ini amat penting bagi memastikan peruntukan Kerajaan diurus secara cekap, diukur prestasinya secara telus, dan membuahkan hasil yang disasarkan kepada rakyat," tambah beliau.
Input yang diperoleh sepanjang lawatan ke Sabah serta siri libat urus di seluruh negara akan diteliti dalam memuktamadkan Belanjawan 2027 supaya pembangunan negara terus dilaksanakan secara terangkum, seimbang dan berteraskan kerangka Ekonomi MADANI.
Kementerian Kewangan
Tawau, Sabah
16 Ogos 2026
↓ Muat Turun : Siaran-Media-JELAJAH-BELANJAWAN-2027-TAWAU-160826