Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Jerayawara Menteri Kewangan ke Jepun Untuk Menarik Pelabur Sempena Penerbitan Bon Samurai

Jerayawara Menteri Kewangan ke Jepun Untuk Menarik Pelabur Sempena Penerbitan Bon Samurai

Menteri Kewangan Malaysia, YB Lim Guan Eng telah mengetuai jerayawara (roadshow) Kementerian Kewangan ke Jepun untuk bertemu dan berunding dengan pelabur-pelabur dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Jepun selama 3 hari. Jerayawara yang bermula 6 Februari melibatkan 20 peserta, termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Ahmad Badri bin Mohd Zahir, Timbalan KSP, Datuk Siti Zauyah Md Desa, dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, En. Marzunisham Omar.

Lawatan ini bertujuan memasarkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang stabil dan berpotensi tinggi. Ia juga dapat memberi keyakinan kepada komuniti pelaburan antarabangsa untuk mengambil bahagian di dalam bon samurai bernilai 200 Bilion Yen yang dijamin oleh Japan Bank International Corporation (JBIC). Jerayawara ini telah diaturkan oleh Daiwa Markets Limited (dengan kerjasama Affin Hwang Investment Berhad), HSBC Bank Malaysia Berhad dan Mizuho Bank (Malaysia) Berhad selaku pengatur utama bersama (lead arrangers) yang dilantik oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan penerbitan bon tersebut.

Menurut YB Lim, para pelabur antarabangsa berkeyakinan dengan potensi ekonomi Malaysia serta kebolehan Kerajaan untuk memacu ekonomi negara ke hadapan.

YB Lim berkata, “Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik oleh para pelabur, lebih-lebih lagi dengan komitmen Kerajaan untuk mentadbir berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Bin Mohamad, seorang negarawan antarabangsa yang disegani dan tidak asing kepada rakyat Jepun. Mereka yakin pelaburan mereka akan digunakan untuk tujuan membangunkan ekonomi Malaysia dengan sebaiknya. Selain itu, YB Lim juga telah mengambil kesempatan untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Jepun, En. Taro Aso; dan Penasihat kepada Perdana Menteri, En. Hiroto Izumi.

Beliau telah menyampaikan penghargaan Kerajaan Malaysia di atas kesudian Kerajaan Jepun melalui JBIC untuk memberikan jaminan ke atas bon Samurai Malaysia untuk mengurangkan kos pembiayaan ke atas pinjaman. Pihak kerajaan Jepun bukan sahaja telah memudahcara terbitan bon Samurai ini dalam tempoh yang singkat, tetapi juga membuka peluang perniagaan dalam bidang lain. Perjumpaan ini juga telah membincangkan hala tuju perhubungan kedua-dua negara, dan ruang meningkatkan kerjasama dan pelaburan di dalam pelbagai bidang strategik.

Perhubungan erat dan kerjasama di antara kedua-dua Kerajaan sejak sekian lama diyakini dapat dipertingkatkan lagi melalui lawatan ini, dan memberikan impak yang positif kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan. Diharapkan hubungan kedua-dua negara akan berkembang kembali seperti zaman dasar Pandang ke Timur mula dilancarkan oleh YAB Tun Dr Mahathir, di mana negara Jepun antara negara yang memainkan peranan utama dalam pembangunan ekonomi Malaysia pada waktu itu.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

8 Februari 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility