Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kaji Selidik Sempena Kempen Pra-Belanjawan 2020 Sebagai Langkah Penglibatan Awam Dalam Memperkasakan Belanjawan 2020

Kaji Selidik Sempena Kempen Pra-Belanjawan 2020 Sebagai Langkah Penglibatan Awam Dalam Memperkasakan Belanjawan 2020

Kementerian Kewangan telah menjalankan 12 konsultasi kumpulan fokus di pelbagai lokasi di seluruh negara bersama YB Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang akan membentangkan Belanjawan 2020 untuk kali kedua pada hari esok, 11 Oktober 2019. Satu kaji selidik atas talian juga dilakukan sempena Belanjawan 2020, dengan melibatkan lebih 7 ribu responden dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, peringkat umur dan lokasi sebagai sebahagian daripada usaha pihak Kementerian Kewangan untuk melibatkan orang awam untuk memberikan pandangan dan input bagi Belanjawan 2020.

Berdasarkan kajian tersebut, responden menyatakan bahawa mereka mahukan inisiatif yang boleh mengurangkan beban kos sara hidup mereka, lebih peluang meningkatkan taraf hidup, dan bantuan apabila dilanda musibah.

Manakala untuk golongan belia pula, responden mendesak Kerajaan memudahcarakan peluang pekerjaan TVET, menyediakan insentif untuk pelatih dan perantis untuk membina peluang menimba pengalaman bekerja, serta penambahbaikan program pembangunan kemahiran dan insan.

Majoriti responden memilih supaya Kerajaan memperbanyakkan lagi inisatif-inisiatif untuk menyokong golongan yang kurang bernasib baik, memastikan pembangunan seimbang untuk semua negeri dan menyediakan peluang yang sama rata untuk semua tanpa mengira kaum dan kepercayaan agama untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. Untuk itu, WKB mestilah berpandukan pertumbuhan ekonomi supaya dapat menjana kemakmuran untuk dikongsikan bersama.

Kerajaan telah meneliti dan mengambil perhatian terhadap maklum balas yang disampaikan rakyat menerusi kajian ini, dan juga daripada sesi libat urus yang dilakukan menjelang Belanjawan 2020.

Pada tahun lalu, Belanjawan 2019 memperuntukkan sebanyak RM259.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan 2020 merupakan Belanjawan kedua Kerajaan Pakatan Harapan, dan akan dibentangkan di Parlimen esok pada 11 Oktober 2019. Pembentangan itu akan disiarkan secara langsung menerusi siaran media massa, dan saluran-saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan di laman Facebook dan Twitter.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

10 Oktober 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility