Seramai 297 orang peserta menyertai Karnival E-Sports MOF 2022 yang diadakan selama 2 hari bermula 26 hingga 27 Mac 2022 di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Putrajaya.
Karnival E-Sports MOF 2022 merupakan kejohanan e-sports yang pertama di negara ini menggunakan teknologi 5G sebagai pendokong kepada capaian internet bagi akses kepada permainan-permainan yang dipertandingkan.
Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, karnival ini merupakan salah satu cara MOF menyokong penggunaan teknologi 5G yang diharapkan akan membawa Malaysia untuk menerajui ekonomi digital di rantau ini.
“Pada masa ini, rangkaian 5G tersedia di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur dan sasaran kadar penembusan 5G di negara ini dijangka akan mencecah 80 peratus kawasan berpenduduk negara menjelang 2024”, kata beliau lagi.
Peserta yang terlibat dalam Karnival E-Sports MOF 2022 terdiri daripada Anggota Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kementerian Kewangan (MKSAKK) dengan sasaran untuk mengenalpasti bakat e-sports dalam kalangan warga MKSAKK bagi tujuan pendedahan kepada sukan e-sports yang lebih kompetitif.
Permainan yang dipertandingkan adalah Player Unknown Battleground Mobile (PUBGM), Mobile Legend (ML) dan FIFA 22. Karnival ini diadakan dengan kolaborasi strategik antara MOF dengan beberapa agensi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan pihak swasta seperti Digital Nasional Berhad (DNB), Ericsson Malaysia Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Berhad, YTL Corporation Berhad, Xiaomi Malaysia Sdn. Bhd., Oppo Electronics dan IESPA Sdn. Bhd.
Sekretariat Penganjur Karnival E-Sports MOF 2022
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
26 Mac 2022