Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 16.1% tahun-ke-tahun pada suku kedua 2021 (S2 2021). Ini menunjukkan trend pemulihan yang berterusan berikutan penguncupan yang lebih kecil pada kadar 0.5% bagi suku sebelumnya (S1 2021), dan berbanding kemerosotan 3.4% pada suku keempat 2020 (S4 2020). Dari segi enam bulan pertama tahun ini, KDNK meningkat sebanyak 7.1%, berbanding penurunan 8.4% dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.
Dari segi prestasi KDNK bulanan, pertumbuhan pada bulan April dan Mei 2021 menunjukkan trend pemulihan yang kukuh dengan masing-masing menunjukkan peningkatan 40.1% dan 19.8%. Pertumbuhan ini disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada bulan-bulan yang sama pada tahun 2020. Selain itu, pertumbuhan juga telah disokong oleh pelaksanaan pakej bantuan dan rangsangan sepanjang tempoh tersebut, iaitu PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan bernilai RM75 bilion, dan dilengkapi oleh langkah-langkah Belanjawan 2021 yang masih berlangsung. Pertumbuhan KDNK pada Jun mencatat penguncupan 4.4% disebabkan oleh kesan PKP 3.0 pada pertengahan Mei, dan juga Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai awal Jun. Namun, jika dibandingkan dengan PKP 1.0 tahun lalu, penurunan pada Jun 2021 adalah lebih kecil berbanding April 2020 (-28.8%).
Walaupun terdapat beberapa halangan berikutan peningkatan semula kes COVID-19 menjelang akhir suku kedua, indikator ekonomi utama telah menunjukkan tanda pemulihan yang menggalakkan. Ini termasuklah:
Dari sudut pasaran kewangan:
Dari sudut pasaran modal:
MELANGKAH KE HADAPAN
Ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kejayaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN bagi setiap negeri. Keadaan ini seterusnya akan membolehkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas. Setakat ini, enam negeri telah beralih ke Fasa 2 dan dua negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya beralih ke Fasa 3. Tambahan pula, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi terpantas di dunia dalam melaksanakan program vaksinasi, dengan suntikan lebih dari 500,000 dos sehari. Setakat ini, lebih 70% populasi dewasa di Malaysia telah menerima satu dos vaksin. Pada kadar ini, 80% populasi dewasa di Lembah Klang, dan 50% populasi dewasa Malaysia dijangka lengkap divaksin menjelang akhir Ogos.
Dalam memperkukuh prospek pertumbuhan, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM530 bilion, dilengkapi oleh Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion. Melalui pakej-pakej ini, lebih daripada RM300 bilion masih tersedia untuk tahun ini, dan dijangka akan menyokong pemulihan ekonomi sepanjang pelbagai fasa PPN. Setakat ini, lebih daripada RM200 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi dan bantuan telah disalurkan dan memanfaatkan lebih daripada 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020.
Faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia termasuk peningkatan permintaan luar daripada rakan dagangan utama, pemulihan harga komoditi, serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi. Faktor-faktor ini akan mendukung asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan walaupun dalam tempoh yang mencabar, disokong oleh kecanggihan, kedalaman dan kepelbagaian ekonomi negara di mana sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang lebih daripada 80% kepada ekonomi. Sektor pembuatan dan eksport dijangka menerima manfaat daripada permintaan global bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), hidrokarbon seperti minyak mentah dan gas asli serta peralatan pelindungan diri. Secara keseluruhan, KDNK 2021 dijangka meningkat antara 3.0% hingga 4.0% seperti yang diumumkan oleh BNM pada hari ini.
Walau bagaimanapun, Kerajaan sentiasa berwaspada dengan pertumbuhan negara yang masih berdepan dengan risiko dan ketidaktentuan ekonomi domestik dan global. Ini termasuk penularan varian baharu COVID-19 yang boleh mengakibatkan pelanjutan sekatan pergerakan sedia ada dan menangguhkan aktiviti ekonomi untuk kembali normal, serta gangguan bekalan vaksin COVID-19 yang akan menjejaskan usaha untuk mencapai imuniti kelompok.
Kerajaan menjangkakan prospek yang lebih mencabar bagi suku ketiga 2021 (S3 2021) berikutan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di sebahagian besar kawasan di Lembah Klang pada bulan Julai, serta Fasa 1 PPN yang berpanjangan di beberapa negeri yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara. Walau bagaimanapun, prospek ini akan diimbangi oleh pelonggaran sekatan kepada penerima vaksin lengkap, dan negeri yang telah berjaya beralih ke Fasa 2 dan Fasa 3. Prospek untuk suku keempat (S4 2021) dijangka bertambah baik, disokong oleh pemulihan beransur-ansur berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial apabila lebih ramai rakyat telah divaksin. Vaksinasi lengkap juga akan mengurangkan beban sistem kesihatan dengan kemasukan ke hospital dan ICU yang lebih rendah.
Buat masa ini, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memperkukuh strategi negara untuk beralih ke fasa Penyusunan Semula, atau ‘Reform’. Ini termasuk pendekatan baharu yang digunapakai Kementerian Kewangan dalam menambah baik proses Bajet tahunan negara agar lebih telus dan terangkum. Kementerian akan mengeluarkan, antara lain, Kenyataan Pra-Bajet yang menetapkan tema dan bidang fokus Bajet 2022 untuk mendorong pemulihan ekonomi, membangun semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan struktur.
Melangkah ke hadapan, dengan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), pendigitalan dan penggunaan teknologi akan menjadi keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. Selain itu, dasar ini juga adalah seiring dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam jangka masa sederhana termasuk melalui pelaksanaan kerangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), dan juga inisiatif PERKUKUH Pelaburan Rakyat. Selain itu, Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021 – 2025) akan menyediakan rangka tindakan untuk pertumbuhan lestari, yang bertujuan untuk memperkukuhkan keterangkuman sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar. Kesemua dasar-dasar tersebut juga adalah selari dengan dasar pembangunan jangka panjang negara, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Kesimpulannya, keutamaan semasa Kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman COVID-19, dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang, didorong oleh PPN dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah. Kerajaan akan terus mengambil langkah strategik, proaktif dan tegas dalam mendepani situasi COVID-19 yang mencabar serta meminimumkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
13 Ogos 2021
LAMPIRAN
