Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

KDNK Suku Ketiga 2022 Berkembang Sebanyak 14.2 Peratus: Prestasi Ekonomi Kukuh Meskipun Berdepan Cabaran Global

 KDNK Suku Ketiga 2022 Berkembang Sebanyak 14.2 Peratus:  Prestasi Ekonomi Kukuh Meskipun Berdepan Cabaran Global

Ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan ekonomi, merekodkan pertumbuhan yang lebih pesat sebanyak 14.2% pada suku ketiga 2022 (S3 2022) berbanding 8.9% pada suku kedua dan 5% pada suku pertama. Pertumbuhan KDNK yang kukuh disumbangkan oleh permintaan dalam dan luar negara serta pasaran buruh yang memberangsangkan. Perkembangan ini turut dipacu oleh prestasi menggalakkan dalam semua sektor ekonomi diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Pertumbuhan S3 2022 ini turut disokong oleh pelaksanaan langkah Bajet 2022 serta kesan limpahan daripada peralihan kepada fasa endemik yang mendorong aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak. Secara keseluruhan, KDNK meningkat sebanyak 9.3% pada sembilan bulan pertama 2022.

Antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan trend pertumbuhan adalah:

  1. Pasaran buruh mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.7% pada S3 2022 (S2 2022: 3.9%). Trend penurunan ini dijangka berterusan sehingga akhir 2022 selaras dengan pelaksanaan dan penerusan pelbagai program penstabilan pekerjaan serta prospek perniagaan yang lebih baik.

  2. Permintaan domestik terus dipacu oleh penggunaan swasta dan keyakinan perniagaan yang kekal positif. Indeks Sentimen Pengguna (CSI) oleh MIER meningkat kepada 98.4 mata pada S3 2022 (S2 2022: 86.0 mata). Sementara itu, Statistik Kecenderungan Perniagaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan indikator keyakinan sebanyak 4.7% (S2 2022: 3.5%). Secara keseluruhan, sentimen tersebut digambarkan melalui peningkatan nilai jualan sektor pembuatan yang kukuh sebanyak 19.5% kepada RM161.7 bilion serta jualan perdagangan borong dan runcit yang berkembang sebanyak 23.9% kepada RM134.0 bilion pada September 2022. Jumlah ketibaan pelancong turut meningkat kepada 3.2 juta bagi Januari hingga Julai 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lepas (Januari - Julai 2021: 0.06 juta).

  3. Perdagangan luar terus mencatat pertumbuhan dua digit di samping prestasi pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan. Jumlah dagangan berkembang sebanyak 42% kepada RM775 bilion manakala FDI bersih mencatat sebanyak RM12.3 bilion pada S3 2022 (S2 2022: RM17.3 bilion). Sektor pembuatan, aktiviti kewangan dan insurans/takaful serta hartanah telah menarik sebahagian besar daripada aliran masuk FDI terutamanya dari Amerika Syarikat, Jepun, Belanda dan Singapura.

Bagi sektor perbankan dan pasaran modal Malaysia,

  1. Aktiviti pengantaraan bank kekal kukuh seiring dengan aktiviti ekonomi yang bertambah baik. Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 6.2% berikutan pertumbuhan tinggi dalam pengeluaran pinjaman kepada isi rumah bagi pembelian rumah dan kereta. Peningkatan ini mencerminkan permintaan pinjaman yang berterusan meskipun dengan penamatan beberapa inisiatif seperti pelepasan cukai jualan ke atas kenderaan baharu. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul kekal pada 5% dengan pertumbuhan pembayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran pinjaman terutamanya bagi segmen bukan PKS. Permohonan pinjaman kekal tersedia bagi keperluan pelbagai tujuan pinjaman dan segmen perniagaan. Perkara ini mencerminkan permintaan berterusan bagi pembiayaan yang menyokong aktiviti perniagaan.

  2. Kegiatan pelaburan dalam pasaran ekuiti tempatan kekal stabil dalam tempoh S3 2022 dengan pembelian bersih daripada pelabur runcit tempatan menyumbang sebanyak RM577.9 juta. Selain itu, pasaran tempatan terus mencatatkan aktiviti pemerolehan dana yang menggalakkan dalam suku tahun yang sama, dengan mengumpul RM737.2 juta menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO) sungguhpun berhadapan pelbagai ketidaktentuan seperti peningkatan inflasi, kenaikan kadar faedah, kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global, isu geopolitik dan gangguan rantaian bekalan. Secara keseluruhannya, bagi tempoh Januari sehingga September 2022, pasaran ekuiti tempatan mencatatkan kemasukan aliran dana asing bersih bernilai RM6.6 bilion dengan hampir keseluruhan jumlah pelaburan daripada pelabur institusi asing.

MELANGKAH KE HADAPAN

Pencapaian ekonomi yang memberangsangkan dalam tempoh suku ketiga 2022 menunjukkan Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan melebihi paras prapandemik bagi tahun 2022. Unjuran ini disokong oleh permintaan domestik yang berkembang terutamanya daripada perbelanjaan isi rumah selari dengan pemulihan prospek pasaran buruh dan pendapatan. Selain itu, sumbangan sektor berkaitan pelancongan kepada permintaan domestik dijangka pulih berikutan kenaikan jumlah ketibaan pelancong. Pelaksanaan lebih cepat projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi, peningkatan pelaburan swasta yang menggalakkan serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama akan mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Prospek ekonomi Malaysia turut bergantung kepada perkembangan ekonomi global memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka. Tekanan ekonomi, terutamanya peningkatan inflasi global akibat kenaikan harga yang berterusan dalam komoditi, makanan dan bahan mentah, di samping isu gangguan rantaian bekalan yang berterusan akibat ketegangan antara Rusia dan Ukraine dijangka meningkatkan kos operasi dan input kepada perniagaan. Tambahan pula, risiko keadaan kewangan global yang lebih ketat dan peningkatan kos sara hidup dijangka menjadi cabaran kepada usaha pemulihan ekonomi negara. Ekonomi Malaysia kini mula merasai kesan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan terutama dari negara maju. Walau bagaimanapun, tinjauan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa terdekat kekal berdaya tahan dengan asas makroekonomi yang kukuh, keadaan kewangan yang stabil dan kepelbagaian struktur ekonomi. Pelbagai langkah akan diteruskan bagi meningkatkan potensi ekonomi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
11 November 2022

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility