Pilih bahasa anda
Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 15 sen seliter bagi tempoh 8 Oktober hingga 14 Oktober 2026. Harga runcit diesel tanpa subsidi pula dikekalkan.
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
|---|---|---|
| RON97 | RM5.15 seliter (harga 7 Oktober 2026: RM5.00 seliter) | Naik 15 sen |
| RON95 | RM4.67 seliter (harga 7 Oktober 2026: RM4.52 seliter) | Naik 15 sen |
| Diesel | RM5.27 seliter (harga 7 Oktober 2026: RM5.27 seliter) | Tiada perubahan |
Walaupun aliran minyak mentah dari Asia Barat semakin pulih, harga minyak mentah dunia kekal tinggi. Sepanjang tempoh pengiraan APM, harga minyak mentah Brent masih berlegar sekitar AS$100 setong.
Tekanan harga kini semakin tertumpu pada produk petroleum bertapis. China menggantung sebahagian besar eksport bahan api bagi Oktober, sekali gus mengehadkan bekalan di pasaran antarabangsa.
Pemulihan kapasiti penapisan dan bekalan produk petroleum bertapis global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana. Namun begitu, perkembangan konflik di Asia Barat dan Rusia-Ukraine terus menimbulkan risiko terhadap kestabilan bekalan dan harga petroleum dunia.
Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
Perlindungan melalui BUDI MADANI
Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.67 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.68 seliter, bersamaan 57% daripada harga tanpa subsidi.
Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60% daripada harga tanpa subsidi.
Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (BUDI Diesel) | RM2.10 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |


Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
7 Oktober 2026
↓ Muat Turun : Siaran-Media-Harga-Petroleum-07102026