Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kekangan Kapasiti Penapisan Global Dorong Kenaikan Harga Produk Petroleum

Kekangan Kapasiti Penapisan Global Dorong Kenaikan Harga Produk Petroleum

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 20 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi naik sebanyak 15 sen seliter, bagi tempoh 24 September hingga 30 September 2026.

Harga Runcit

Bahan Api Harga Runcit Perubahan
RON97 RM5.05 seliter (harga 23 September 2026: RM4.85 seliter) Naik 20 sen
RON95 RM4.57 seliter (harga 23 September 2026: RM4.37 seliter) Naik 20 sen
Diesel RM5.42 seliter (harga 23 September 2026: RM5.27 seliter) Naik 15 sen

Walaupun harga minyak mentah Brent telah menyederhana daripada paras puncak konflik Asia Barat, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat berikutan gangguan aliran petroleum melalui Selat Hormuz, penyusutan kapasiti penapisan di beberapa negara serta sekatan eksport bahan api. Faktor-faktor ini dijangka terus menyebabkan turun naik harga dalam tempoh terdekat.

Eksport diesel dari Asia Barat pula telah merosot lebih 50% dari Mac hingga Ogos 2026.

Pemulihan kapasiti penapisan global adalah penting bagi penyederhanaan harga produk petroleum. Pada masa sama, pemulihan aliran petroleum melalui Selat Hormuz boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis.

Namun begitu, ketidaktentuan geopolitik dunia dijangka terus mempengaruhi turun naik harga produk petroleum dalam jangka sederhana. Risiko konflik juga telah meningkatkan kos penghantaran minyak dengan ketara. Kadar sewaan kapal tangki super bagi beberapa laluan dari Asia Barat telah mencecah paras rekod sekitar AS$1 juta sehari susulan gangguan perkapalan.

Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

Perlindungan melalui BUDI MADANI

Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.57 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.58 seliter, bersamaan 56% daripada harga tanpa subsidi.

Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.42 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM3.32 seliter, atau 61% daripada harga tanpa subsidi.

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api Harga Subsidi
RON95 (BUDI95) RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
23 September 2026

↓ Muat turun: Siaran Media - Harga Petroleum 23092026

Arkib Siaran Media