Kelonggaran Dalam Urusan Perolehan Kerja Bagi Semua Projek Kecil Penyelenggaraan dan Pembaikan Kerajaan Persekutuan
Sepertimana yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, semasa pembentangan Belanjawan 2023, Kerajaan telah menekankan usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek prasarana rakyat terutamanya projek sekolah dan klinik daif.
“Kerajaan Perpaduan akan terus mempertegak dan berpegang pada prinsip tatakelola baik dalam pentadbiran. Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus memastikan perolehan Kerajaan khususnya melibatkan projek-projek cakna rakyat seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah daif, klinik daif, jalan-jalan berlubang akan dilaksanakan pada kadar segera,” kata Dato’ Seri Anwar.
Selaras dengan itu, keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang terkini telah memutuskan supaya projek-projek berskala kecil di seluruh negara dipercepatkan.
Oleh yang demikian, bagi memastikan keputusan di atas dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan, Kerajaan telah bersetuju memberikan kelonggaran dalam urusan perolehan kerja di bawah Arahan Perbendaharaan (AP)182 meliputi perkara- perkara berikut:
Kelonggaran Kaedah Pelaksanaan Projek
- Kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran bagi kaedah perolehan kerja seperti berikut:
- Pengecualian ke atas AP182 kepada semua Kementerian/Agensi Pelaksana sehingga di peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.
Ini bermakna, semua projek Kerajaan Persekutuan yang merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan yang bernilai RM1 juta boleh dilaksanakan terus oleh Kementerian dan agensi berkenaan termasuk di peringkat negeri/daerah tanpa perlu melalui Jabatan Teknik (termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)).
- Pengesahan kerja siap boleh dibuat oleh Ketua Jabatan atau pegawai yang diturunkan kuasa di peringkat Agensi Pelaksana negeri dan daerah dengan mematuhi kesempurnaan kerja mengikut tadbir urus baik.
- Mewujudkan satu Pasukan Pemantau Projek sama ada di peringkat Negeri atau Daerah dengan penglibatan beberapa Agensi/pegawai dari pelbagai Jabatan bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil memenuhi objektif yang ditetapkan.
- Kelonggaran ini berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Disember 2023. Ini bagi memastikan kerja-kerja ini siap dalam tahun semasa.
Kelonggaran Kaedah Perolehan
- Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran kaedah perolehan bagi semua projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil yang dilaksanakan oleh semua Kementerian/agensi pengguna sehingga ke peringkat negeri dan daerah:
- Had nilai sebut harga perolehan kerja ditingkatkan kepada RM1 juta daripada RM500,000; dan
- Had perolehan secara cabut undi ditingkatkan kepada RM200,000 daripada RM100,000.
Kemudahan Pembiayaan Kepada Kontraktor
- Bagi meningkatkan penglibatan kontraktor kecil dari pelbagai kelas untuk sama-sama terlibat dalam melaksanakan projek berskala kecil, Kerajaan juga memperkenalkan kemudahan pembiayaan secara “financial close” bagi memastikan kontraktor tiada masalah aliran tunai dan kerja disiapkan mengikut jadual. Butiran lanjut berkaitan program ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Pertanyaan lanjut berkenaan AP182 boleh dipanjangkan kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau hubungi talian 03-8882 3232/4476/3225.
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
Putrajaya
20 Jun 2023