Kemaskini Status Moratorium Secepat Mungkin
- Kebanyakan bank-bank telah melaksanakan program lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan mulai 7 Ogos yang lalu.
- Semua bank telah berkongsi maklumat dan perincian mengenai langkah ini di laman sesawang mereka. Setakat 21 Ogos 2020, pihak bank telah menghubungi kira-kira 1,015,848 peminjam yang merangkumi 908,773 individu, 94,685 PKS dan 12,390 syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan.
- Tarikh berakhirnya moratorium secara automatik berbaki 29 hari sahaja lagi. Dalam tempoh 2 minggu bermula 7 Ogos 2020, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu telah diterima dan sebanyak 109,172 daripadanya telah mendapat kelulusan. Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro pula, sebanyak 5,017 permohonan diterima dan 4,300 daripadanya telah mendapat kelulusan.
- Sebagaimana yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, bantuan pembayaran balik pembiayaan merangkumi, antaranya:
- Lanjutan moratorium pembiayaan selama tiga(3) bulan bagi pelanggan individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan;
- Pengurangan ansuran pembiayaan yang sepadan dengan pengurangan gaji pelanggan individu yang terjejas akibat COVID-19 selama sekurang-kurangnya enam (6) bulan, bergantung kepada jenis pembiayaan; dan
- Pembayaran faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; pemanjangan tempoh keseluruhan pembiayaan bagi mengurangkan bayaran balik bulanan; ataupun pelepasan lain yang sesuaian, bagi pelanggan individu dan PKS yang turut terkesan akibat COVID-19.
- Orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.
- Hasil pertemuan saya dengan wakil-wakil bank tempoh hari, saya dimaklumkan bahawa bank-bank sudah bersedia untuk memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai, walau bagaimanapun, respons yang diterima masih belum seperti yang diharapkan.
- Saya bimbang sekiranya orang ramai dan PKS menunggu sehingga ke saat akhir untuk memulakan rundingan dan memohon bantuan bayaran balik pembiayaan daripada bank. Orang ramai dan PKS harus ingat bahawa bank-bank memerlukan masa untuk memproses permohonan bantuan bayaran balik pembiayaan yang dikemukakan. Secara umumnya 1 hingga 5 hari untuk pelanggan individu dan 3 hari hingga 2 minggu untuk permohonan PKS.
- Saya menggesa orang ramai untuk segera memberi maklum balas atau pergi ke bank masing-masing untuk mengesahkan pakej bantuan bayaran balik pembiayaan yang ditawarkan. Ini penting terutamanya bagi peminjam yang masih memerlukan bantuan pasca moratorium, untuk mengelakkan rekod kredit menjadi buruk selepas September 2020.
YB Tuan Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan II
1 September 2020