Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kementerian Kewangan Melantik Mizuho Bank (Malaysia) Berhad, HSBC Bank Malaysia Berhad and Daiwa Capital Markets Singapore Limited Sebagai Pengatur Utama Bersama Untuk Menerbit Bon Tidak Melebihi JPY200 Bilion di Pasaran Jepun

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) ingin mengumumkan bahawa Mizuho Bank (Malaysia) Berhad, HSBC Bank Malaysia Berhad dan Daiwa Markets Limited (dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank) telah dilantik sebagai pengatur utama bersama (joint lead arrangers) untuk menerbit bon Samurai bertempoh 10-tahun sebanyak JPY200 Bilion (RM7.6 Bilion) di pasaran Jepun.

Pelantikan ini dibuat setelah pihak MOF menyenarai pendek 6 daripada 27 cadangan yang diterima sehingga 2 November 2018. Keputusan muktamad dibuat setelah MOF yakin bahawa ketiga-tiga institusi kewangan ini mempunyai pengalaman, pengetahuan dan yang paling penting, keyakinan serta kepercayaan terhadap ekonomi Malaysia bagi memastikan Kerajaan dapat menikmati kadar faedah yang paling rendah daripada pihak pelabur bon.

Sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama kerajaan-ke-kerajaan, Japan Bank of International Cooperation (JBIC) akan menjamin bon tersebut. Dengan adanya jaminan tersebut, keseluruhan kadar kupon termasuk fi jaminan dianggar tidak melebihi 0.65% setahun.

Bon ini akan diterbitkan dalam masa beberapa bulan yang akan datang. Saya selaku Menteri Kewangan telah diarahkan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengendali penerbitan bon tersebut secara keseluruhan dan mengetuai rombongan Malaysia ke Tokyo dalam bulan Februari untuk bertemu dengan semua pihak pelabur bagi memastikan penerbitan bon ini berjaya.

Penerbitan bon ini adalah hasil keyakinan Kerajaan Jepun terhadap pentadbiran dan kepimpinan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta hubungan erat yang wujud antara kedua-dua negara. Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun kerana sudi menawarkan jaminan ke atas penerbitan bon Samurai ini dan juga kepada Duta Jepun, TYT Dr Makio Miyagawa kerana telah memberikan bantuan yang penuh demi memastikan proses rundingan berjalan dengan lancar.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

18 Januari 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility