Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kementerian Sokong Pengenalan Skim KWSP Untuk Suri Rumah

Kementerian Sokong Pengenalan Skim KWSP Untuk Suri Rumah

Kementerian Kewangan menyokong penuh inisiatif untuk memperkenalkan Skim KWSP untuk suri rumah. Inisiatif ini dikemukakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga yang diketuai oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Polisi ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan untuk meningkatkan tahap keselamatan sosial di kalangan suri rumah yang bergantung kepada suami untuk menyara hidup.

Skim ini dijangka bermula pada tahun ini secara sukarela dan akan melibatkan permindahan dua peratus daripada caruman KWSP suami yang sedia ada kepada akaun KWSP suri rumah.

Saya percaya skim ini tidak membebankan mana-mana pihak kerana suami tidak mengalami sebarang pengurangan gaji bersih yang dibawa pulang. Tambahan lagi, skim ini akan mewujudkan satu hubungan ekonomi yang lebih saksama di antara suami dan isteri yang tidak bekerja, sambil menguatkan lagi institusi kekeluargaan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang baharu.

Buat masa ini, KWSP juga sedang menjalankan satu skim simpanan persaraan sukarela bagi mereka yang bekerja sendiri dan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tambahan sebanyak 15% daripada segala caruman di bawah skim ini disumbangkan oleh kerajaan kepada semua peserta skim, tertakluk kepada had RM250 setahun. Pada 2017, KWSP mendapati RM525 juta telah dicarum oleh 90,599 pencarum skim ini yang antaranya suri rumah.

Saya difahamkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga bersama pihak KWSP akan menyediakan satu memorandum Jemaah Menteri pada masa terdekat. Dokumen ini akan memperincikan lagi struktur Skim KWSP untuk suri rumah.

Pihak Kementerian Kewangan sentiasa bersedia untuk membantu YAB Timbalan Perdana Menteri dalam menjayakan inisiatif murni ini.


Sayangi Malaysiaku!

YB Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Putrajaya

4 Jun 2018

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility