Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kemudahan Bagi Pelaksanaan Peluasan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan

 Kemudahan Bagi Pelaksanaan Peluasan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan

Kerajaan MADANI cakna terhadap persediaan pentadbiran yang perlu dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan bercukai di bawah peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025. Mengambil kira maklum balas dan permohonan yang diterima daripada industri mengenai kesukaran untuk mematuhi kesemua keperluan operasi di bawah perubahan SST, Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju untuk memberi kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan perubahan SST.

Pengemukaan penyata cukai manual bagi perkhidmatan baharu

Kerajaan MADANI memahami pembekal perkhidmatan yang memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai. Oleh itu, Kerajaan memberi kelonggaran untuk mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025.

Walau bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut.

Pendaftaran awal pengilang di bawah Cukai Jualan

Pendaftaran awal secara sukarela telah dibuka oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membolehkan pengilang mendaftar lebih awal sebelum pelaksanaan. Oleh itu, pengilang yang telah berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) mulai 1 Julai 2025, dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah yang digunakan dalam pengilangan barang bercukai.

Pengekalan pengecualian cukai yang telah diluluskan

Selain itu, syarikat yang telah menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum 1 Julai 2025 akan terus menikmati pengecualian tersebut, tertakluk kepada tempoh dan syarat yang telah ditetapkan.

Namun, sekiranya syarikat berkenaan mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai 2025 dan telah mencapai nilai ambang yang ditetapkan, mereka diwajibkan berdaftar sebagai pengilang berdaftar (registered manufacturer) dan boleh memohon pengecualian melalui portal MySST di mysst.customs.gov.my.

MOF berharap kemudahan ini akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan serta memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terlibat dalam peluasan skop SST.

Untuk maklumat lanjut, orang awam dan para peniaga boleh menghubungi Pusat Panggilan SST Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian berikut:

Pusat Panggilan SST Jabatan Kastam Diraja Malaysia
03-8323 7406 03-8323 7407 03-8323 7409 03-8323 7412
03-8323 7414  03-8323 7415 03-8323 7416 03-8323 7417
Hotline Pusat Panggilan Jabatan Kastam Diraja Malaysia
1-300-888-500

 

Kementerian Kewangan
Putrajaya
4 Julai 2025

 

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility