Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kenyataan Prabelanjawan 2026

Kenyataan Prabelanjawan 2026

1. PENGENALAN

Belanjawan 2026 ialah siri keempat Belanjawan MADANI, dirangka bagi meneruskan Kerangka Ekonomi MADANI: memulih daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat. Belanjawan 2026 terus menelusuri tiga tonggak Ekonomi MADANI — Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai taraf hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan, terutamanya Tatakelola Baik seperti berikut:

Ekonomi MADANI : Memperkasa Rakyat – Bersama membina Malaysia yang lebih baik | Muat turun ⬇️

Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang dibina dalam Belanjawan MADANI terdahulu. Belanjawan ini juga merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026 – 2030 (RMK13) yang terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi MADANI.

Berdepan ketidaktentuan global dan peningkatan persaingan, tumpuan Belanjawan 2026 terarah kepada penyampaian agenda ekonomi Malaysia jangka panjang di samping menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi. Pada masa sama, usaha akan diambil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi bantuan lebih bersasar berteraskan keberhasilan ke arah menambah baik kualiti hidup.

2. KEDUDUKAN EKONOMI DAN FISKAL 2025

Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan peningkatan ketegangan perdagangan global. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2025 berkembang sebanyak 4.4%, dipacu penggunaan isi rumah, pelaburan dan sektor pembinaan. Momentum ini dijangka berterusan pada suku kedua 2025 dengan anggaran awal pertumbuhan sebanyak 4.5%. Namun, ekonomi Malaysia 2025 kekal berdaya tahan dan dijangka berkembang antara 4% hingga 4.8% walaupun berdepan perkembangan global yang tidak menentu.

Inflasi kekal mereda kepada 1.1% pada Jun 2025 berbanding 2.0% pada tahun sebelumnya iaitu kadar terendah dalam tempoh 52 bulan. Langkah-langkah reformasi yang dilaksanakan seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan gaji minimum dan rasionalisasi subsidi bersasar tidak memberi kesan ketara kepada inflasi yang dijangka kekal rendah antara 1.5% hingga 2.3% antaranya berikutan pemulihan rantaian bekalan global.

Pasaran buruh terus mengukuh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.0% pada Mei 2025 berbanding 3.3% pada Mei 2024. Ini merupakan bulan kedua berturut-turut kadar pengangguran berada pada paras terendah sejak April 2015 mencerminkan momentum berterusan pewujudan pekerjaan dan pemulihan ekonomi. Bilangan penganggur menurun sebanyak 5.7% tahun ke tahun kepada 522,400 orang pada Mei 2025 berbanding 554,100 pada bulan yang sama tahun lalu.

Kerajaan kekal komited ke arah konsolidasi fiskal untuk meneruskan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8% pada 2025 berbanding 4.1% tahun lalu danmeneruskan trend penurunan secara beransur dari 5.0% pada 2023 dan 5.5% pada 2022. Konsolidasi fiskal disokong oleh pelaksanaan langkah Belanjawan 2025 termasuk peluasan asas hasil dan perbelanjaan yang optimum, seperti melalui peralihan kepada subsidi bersasar. Ruang fiskal yang diperkukuh telah membolehkan peruntukan semula dana untuk menambah baik bantuan rakyat serta prasarana kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.

Selaras dengan pengurangan defisit, Kerajaan turut mengurangkan terbitan hutang tahunan. Hutang baharu Kerajaan Persekutuan berkurang daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023. Trend ini berterusan pada 2024 dengan jumlah hutang baharu sebanyak RM76.8 bilion. Komitmen konsolidasi fiskal termaktub di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA; Akta 850), yang menetapkan sasaran defisit fiskal 3% atau lebih rendah dan menurunkan paras hutang tidak melebihi 60% kepada KDNK dalam jangka sederhana.

Sehingga 6 Ogos 2025, ringgit muncul sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia mengukuh 5.8% kepada paras RM4.2270 berbanding dolar AS. Walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar, permintaan terhadap ringgit kekal disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan keyakinan pelabur.

Pencapaian Utama Terkini

Pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik telah menunjukkan hasil ketara, termasuk:

  • Pelaburan Diluluskan: Malaysia mencatat pelaburan diluluskan berjumlah RM384.4 bilion pada 2024 merupakan tahun kedua berturut-turut prestasi tertinggi pernah dicapai (2023: RM329.5 bilion). Momentum ini diteruskan pada suku pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan meningkat 3.7% tahun ke tahun kepada RM89.8 bilion. Pencapaian ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap komitmen Malaysia ke arah reformasi institusi di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

  • Penarafan Kredit Berdaulat: Penarafan kredit Malaysia kekal pada A3 oleh Moody’s Investor Service, A- oleh S&P Global Ratings dan BBB+ oleh Fitch Ratings dengan prospek ‘Stabil’. Faktor utama penarafan Malaysia termasuk kepelbagaian ekonomi, pertumbuhan yang berdaya tahan, sistem perbankan yang teguh dan dedahan hutang Kerajaan Persekutuan yang rendah terhadap risiko tukaran asing.

  • Daya Saing Global: Malaysia mencatat lonjakan terbesar dalam Laporan Daya Saing Dunia IMD 2025 naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 negara yang merupakan pencapaian terbaik sejak 2020 dan satu-satunya negara mencapai peningkatan dua digit. Didorong ekonomi yang rancak dan tatakelola baik sektor awam dan swasta, Kerangka Ekonomi MADANI menyasarkan Malaysia dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033.

  • GEAR-uP: Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan telah menggerakkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM11 bilion ke dalam sektor berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti semikonduktor dan peralihan tenaga. Ini sebahagian daripada komitmen RM25 bilion oleh enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). Dalam masa yang sama, 34 GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah memberi komitmen untuk menyediakan gaji wajar minimum bulanan RM3,100 kepada 153,000 pekerja sebagai sebahagian daripada agenda reformasi gaji lebih luas bagi meningkatkan standard kehidupan.

  • Subsidi Bersasar dan Perlindungan Sosial: Langkah Kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar telah memberikan hasil utama iaitu meningkatkan kemampanan fiskal dan meningkatkan bantuan kepada kumpulan penerima manfaat. Antaranya, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat 30% kepada RM15 bilion iaitu lebih lima kali ganda berbanding program tunai langsung yang pertama kali diperkenalkan pada 2012. Ini termasuk pembayaran sekali RM100 dalam bentuk kredit SARA kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

  • Langkah Meningkatkan Hasil: Untuk memperkukuh daya tahan fiskal negara, Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah pada 2025 bagi memperluas asas cukai yang pada 2024 berada pada kadar 12.4% daripada KDNK. Ini termasuk semakan bersasar kadar Cukai Jualan, peluasan Cukai Perkhidmatan ke lima kategori baharu, pelaksanaan berterusan e-Invois dan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) serta pelaksanaan Cukai Minimum Global untuk mewujudkan landskap percukaian yang lebih adil bagi syarikat multinasional.

  • Peningkatan Infrastruktur Utama: Pembangunan infrastruktur asas diteruskan bagi meningkatkan hubungan wilayah dan aktiviti ekonomi setempat. Projek utama yang hampir siap termasuklah Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan lanjutan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Johor Bahru. Inisiatif lain termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura serta Lebuhraya Bertingkat Juru–Sungai Dua. Akses kesihatan akan diperluas melalui pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 manakala daya tahan iklim terus diperkukuh menerusi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kota Bharu. Di Sabah dan Sarawak, keutamaan terus diberikan kepada akses jalan raya seperti Lebuhraya Pan Borneo, bekalan air bersih melalui Loji Rawatan Air Landeh, Sarawak dan sambungan luar bandar termasuk Pembinaan Pencawang Utama Bekalan Elektrik di Paitan, Sabah untuk pembangunan yang lebih seimbang.

 

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana pada tahun 2026 meskipun berdepan ketidakpastian perdagangan global yang semakin meningkat dan permintaan luaran yang perlahan. Pertumbuhan didorong permintaan domestik yang berdaya tahan terutamanya melalui pelaburan swasta, pekerjaan yang stabil dan langkah peningkatan pendapatan seperti bantuan tunai bersasar dan kenaikan gaji. Sektor pelancongan yang digerakkan oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dijangka menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan. Dalam konteks ini, Belanjawan 2026 akan mengutamakan pengukuhan sumber pertumbuhan domestik, kepelbagaian pasaran eksport dan meluaskan peluang pendapatan isi rumah. Pelaburan awam dipertingkat melalui projek-projek strategik di bawah RMK13 dan peningkatan DDI oleh Syarikat-Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) melalui program GEAR-uP sekali gus mengukuhkan asas bagi daya tahan ekonomi yang inklusif dan mampan.

3. BIDANG KEUTAMAAN BELANJAWAN 2026

Tumpuan utama tahun hadapan akan terus berteraskan kepada tiga tonggak Ekonomi MADANI selain merupakan pemula kepada pelaksanaan RMK13. Belanjawan 2026 akan terus memacu pendekatan berasaskan akar umbi dan berorientasikan rakyat, yang meletakkan keperluan komuniti sebagai nadi dasar awam. Program seperti Sejati MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperkasa komuniti setempat melalui pengagihan sumber berdasarkan keutamaan di peringkat lapangan. Dalam merangka Belanjawan 2026, Kerajaan akan terus menggunakan pendekatan ini dengan mendapatkan maklum balas secara aktif daripada rakyat, perniagaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan dasar nasional adalah selari dengan realiti semasa.

A) MEMACU PEMBAHARUAN & TATAKELOLA BAIK

Aspirasi Belanjawan 2026 akan memacu reformasi sektor awam dalam memperkukuh tadbir urus, mempertingkat penyampaian perkhidmatan dan menjamin kemampanan fiskal. Antaranya, memodenkan perkhidmatan awam, memperkenal kerangka dan perundangan yang meningkatkan prestasi perkhidmatan awam serta memperkukuh prinsip integriti dan tadbir urus beretika. Reformasi ini disokong oleh komitmen untuk mengoptimumkan sumber awam, meminimumkan ketirisan dan memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Memperkukuh Integriti dan Tadbir Urus Fiskal

Dalam meningkatkan piawaian tadbir urus negara, Belanjawan 2026 dirangka melalui pembaharuan sedia ada di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028. Usaha ini diperkukuh melalui pengenalan rang undang-undang utama termasuk Akta Perolehan Kerajaan, Akta State-Owned Enterprises, Akta Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat bagi memperkukuh ketelusan, mengurangkan ketirisan sumber awam serta memulihkan keyakinan pasaran dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menjadi tonggak dalam penguatkuasaan dan pemulihan aset rentas sempadan termasuk membanteras jenayah siber dan menjejak aliran aset digital. Bermula 2025, pembaharuan tadbir urus korporat seperti kriteria baharu pengecualian audit baharu untuk syarikat swasta terpilih akan mengimbangi pematuhan perniagaan dengan keperluan tadbir urus baik.

Memodenkan Kewangan Awam melalui Teknologi

Kerajaan sedang rancak mendigitalkan sektor awam bagi mengoptimum kutipan hasil, mengurangkan ketirisan dan memperbaik penyampaian program. Ini termasuk penggunaan teknologi seperti AI, analitik data raya dan automasi untuk mengesan ketidakpatuhan cukai yang kini diguna pakai oleh agensi seperti LHDN yang menggunakan AI untuk penguatkuasaan yang lebih cekap.

Mempertingkatkan GovTech dan Perkhidmatan Rakyat

Kerajaan mempergiat usaha untuk meningkatkan kecekapan dan akses perkhidmatan melalui inisiatif GovTech di seluruh negara. Aplikasi seperti MyVisa 2.0 dan MyJPJ serta pusat sehenti digital dapat mengurangkan birokrasi dan membolehkan transaksi awam yang lebih lancar. Inisiatif ini disokong oleh pelaburan dalam infrastruktur digital, integrasi data dan pembangunan kapasiti. Meskipun sebahagian perkhidmatan dan kawasan masih memerlukan kehadiran secara fizikal berikutan kekangan infrastruktur atau prosedur, Kerajaan kekal komited dalam menangani cabaran ini melalui inovasi berterusan dan peluasan inisiatif GovTech, bagi memastikan perkhidmatan awam disampaikan dengan lebih pantas, inklusif, dan berorientasikan kepada rakyat.

Reformasi Perkhidmatan Awam untuk Kerajaan Masa Hadapan

Pembaharuan institusi bermula dengan reformasi perkhidmatan awam. Belanjawan 2026 akan memacu penilaian berasaskan prestasi, pembangunan keupayaan dan pendekatan akauntabiliti di bawah Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 [Akta 867]. Langkah ini bertujuan mewujudkan perkhidmatan awam yang tangkas, celik digital dan bersedia untuk melaksanakan Ekonomi MADANI dengan integriti dan pantas. Kerajaan juga kekal komited dalam meningkatkan ease of doing business dengan penyelaras peraturan, memudah cara proses perniagaan dan mempercepat pendigitalan perkhidmatan kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh.

B) MENAIKKAN SILING

Menaikkan Siling merupakan salah satu daripada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI yang bertujuan melonjakkan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya saing dan mampan berteraskan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial. Tonggak ini menumpukan usaha memecahkan kekangan struktur yang lama berakar — khususnya kebergantungan kepada model ekonomi kos rendah dan sederhana. Dengan Ekonomi MADANI menetapkan aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia, transformasi asas perindustrian adalah penting. Ini termasuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global dan beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti tinggi dan inovasi.

Penggerak Strategik untuk Transformasi Industri Malaysia

Di tengah-tengah tonggak “Menaikkan Siling” ialah keperluan Malaysia untuk merebut gelombang transformasi industri seterusnya. Untuk memulakan peralihan ini, Kerajaan memberi keutamaan kepada pelaburan dalam sektor HGHV — meliputi peluang teknologi hadapan baharu dan laluan hijau mampan. Antaranya termasuk teknologi digital, pembuatan termaju, semikonduktor, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan berasaskan AI — sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang, keupayaan meningkatkan pertumbuhan eksport tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Penyusunan semula ekonomi ini dilaksanakan melalui penggerak dasar strategik yang dirangka untuk meliberalisasikan sektor-sektor utama dan menarik pelaburan berkualiti. Momentum inisiatif-inisiatif ini diteruskan dalam Belanjawan 2026 dengan fokus untuk mempercepatkan impaknya.

Inisiatif Fokus strategik  Pencapaian utama dan Sasaran
Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Transformasi industri pembuatan dan perkhidmatan berkaitan, meningkatkan produktiviti dan inovasi Pertumbuhan nilai tambah tahun ke tahun 4.1% (suku 1 2025: RM95.7 bilion); 50,000 pekerjaan daripada pelaburan direalisasikan
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Pertumbuhan hijau; tenaga boleh baharu; kecekapan tenaga; akitiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) Potensi pelaburan RM60 bilion; 84,000 pekerjaan; pengurangan 24,226 Gg CO₂/setahun melalui Akta EECA 2024 dan Akta CCUS 2025
Strategi Semikonduktor Negara (NSS) Menempatkan Malaysia dalam rantaian pembekal cip global — R&D, reka bentuk dan pembungkusan cip berteknologi tinggi Komitmen pelaburan RM52 bilion pada suku pertama 2025); 23,000 peluang pekerjaan; insentif R&D dan pengenalan skim bakat
Pelan KL20  Menjadikan Malaysia antara 20 ekosistem terbaik untuk syarikat mula niaga Syarikat pemula berdaftar meningkat kepada 4,464 (2024: 3,679); pemudah cara kelulusan peraturan
Pelan Tindakan AI Nasional 2026–2030 Menerap AI dalam ekonomi dan tadbir urus; menjadikan Malaysia hab digital serantau Selaras dengan pengumuman RMK13; menyokong produktiviti, pertumbuhan bakat dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti
Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) Meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor- sektor HGHV Sasaran meningkatkan pegangan saham Bumiputera melebihi 8% KDNK; peralihan kepada industri berorientasi eksport
Program GEAR-uP Menggerakkan GLIC dan GLC untuk menyokong sektor HGHV dan memperkasa komuniti yang memerlukan RM120 bilion DDI bakal disalur pada tahun 2024– 2028; (RM11 bilion telah disalurkan sehingga Jun 2025); komitmen gaji wajar untuk 153,000 pekerja

Penyesuaian Insentif bagi Meningkatkan Daya Tarik Pelaburan

Untuk melengkapkan transformasi perindustrian, Kerajaan terus menambah baik insentif pelaburan strategik termasuk memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang bakal dilancarkan suku ketiga 2025. Ini bagi menyelaras insentif dengan pulangan ekonomi sektor sasaran, membina dinamik yang saling menguntungkan agar dapat menarik pelaburan berkualiti dan menjana manfaat nasional bermakna.

Belanjawan 2026 akan memperkemas proses kelulusan, mengurangkan halangan birokrasi dan menyelaras semula insentif supaya lebih mencerminkan kerumitan, nilai tambah dan intensiti teknologi sesuatu industri.

Pembaharuan ini bertujuan mengubah Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang memudah cara, kompetitif, yang memberi ganjaran kepada inovasi, mengutama kemampanan jangka panjang dan meletakkan negara di barisan hadapan penciptaan nilai ekonomi.

Menjana Kesan Berganda Merentasi Rantaian Ekonomi

Penggerak dasar strategik ini dirangka untuk mewujudkan kesan pengganda yang mengalir ke seluruh ekosistem bekalan yang menyokong sektor berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi. Usaha ini mendorong pertumbuhan inklusif dan menyeluruh di semua koridor ekonomi. Belanjawan 2026 akan terus memupuk ekosistem hiliran ini dan merancakkan pembangunan wilayah melalui bidang tumpuan berikut:

  • PMKS dan Pendigitalan: Menyokong perusahaan kecil dengan kemudahan akses pasaran eksport dan pembiayaan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.

  • Pelancongan dan Pertumbuhan Perkhidmatan: Memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk merancakkan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

  • Kewangan Islam dan Ekonomi Halal: Memperkukuh rantaian bekalan halal bernilai tinggi dan menerajui kedudukan Malaysia melalui kewangan Islam.

  • Pembangunan Wilayah: Mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui pembangunan hab pemangkin negeri — mengguna pakai model seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Kulim Hi-Tech Park dan Pulau Silikon Pulau Pinang.

 

C) MENAIKKAN LANTAI DAN TARAF HIDUP RAKYAT

Ketika bergerak ke arah ekonomi lebih kompleks dan berdaya saing, Belanjawan 2026 membina kesinambungan usaha terdahulu untuk mengangkat asas kehidupan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi memberi kesan langsung kepada kualiti hidup rakyat yang lebih baik.

Tonggak “Menaikkan Lantai” berkait rapat dengan agenda transformasi yang lebih luas di bawah “Menaikkan Siling.” Pembangunan negara tidak akan berjaya tanpa memelihara aset negara paling berharga: modal insan.

Tonggak ini menjunjung prinsip ekonomi yang adil bagi memastikan keselamatan, maruah dan peluang saksama untuk semua. Antara tumpuan termasuklah akses sejagat kepada perkhidmatan asas, upah yang adil, perlindungan sosial kukuh dan peluang bagi setiap rakyat untuk maju ke hadapan.

Reformasi Pasaran Buruh

Reformasi pasaran buruh menumpukan kepada peningkatan kebolehpasaran dan akses kepada peluang menjana pendapatan lebih tinggi. Selain pelaksanaan gaji minimum, usaha juga tertumpu kepada mewujudkan pertumbuhan gaji mampan bagi menjamin peningkatan taraf hidup rakyat serta memperkukuh daya tahan isi rumah dalam jangka masa panjang. Ini termasuk kerjasama industri untuk menyokong perkembangan kerjaya, inisiatif peningkatan kemahiran dan pembaharuan struktur pekerjaan ke arah pertumbuhan yang seimbang. Kerajaan kekal komited untuk menyesuaikan dasar dan strategi selaras dengan perubahan dinamik dalam landskap pasaran buruh masa kini.

Memperkasa Mekanisme Bantuan Sosioekonomi untuk Kehidupan Bermaruah

Belanjawan 2026 terus menyediakan bantuan sosioekonomi bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi yang terjejas akibat tekanan kos sara hidup. Bantuan ini bertujuan untuk menyediakan sokongan pendapatan agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang bermaruah dan sejahtera, memastikan rakyat mampu memperoleh keperluan asas, terutamanya makanan dan barangan keperluan di samping memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha mengurangkan kesilapan dalam penyasaran, sama ada penyertaan yang tidak sepatutnya mahupun pengecualian yang tidak wajar agar bantuan disasarkan dengan tepat kepada golongan yang memerlukan.

Kerajaan komited untuk beralih daripada subsidi menyeluruh kepada pelaksanaan subsidi bersasar bagi menghapuskan ketirisan, meningkatkan kecekapan fiskal dan memastikan sumber awam diagihkan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan majoriti rakyat terus menerima manfaat. Ia turut mencerminkan kerangka pembaharuan subsidi yang lebih mampan dan saksama.

Penambahbaikan ini akan mewujudkan sistem perlindungan sosial yang kukuh, mengikut keperluan semasa dengan penggunaan data dan automasi bagi menyampaikan sokongan dengan lebih tepat, pantas dan bermaruah.

Ke Arah Sistem Penjagaan Kesihatan yang Saksama dan Mampan

Belanjawan 2026 akan menangani hasil penemuan utama Jawatankuasa Bersama Menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JMCPHC), khususnya isu peningkatan kos perkhidmatan kesihatan. Reformasi perkhidmatan kesihatan ini bertujuan menjamin keselamatan kesihatan melalui penjagaan yang mampu milik, saksama dan berkualiti. Tumpuan utama adalah termasuk perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan rentan, meningkatkan akses kepada ubat-ubatan mampu milik, penambahbaikan sistem penjagaan asas di kawasan luar bandar, pendigitalan perkhidmatan melalui teleperubatan dan rekod elektronik dan kesediaan sistem menghadapi krisis masa depan dan penuaan penduduk.

Reformasi Sektor Pendidikan Untuk Menjana Ekonomi Inklusif Yang Berdaya Saing Masa Depan

Pendidikan inklusif kekal sebagai tunjang utama reformasi Kerajaan kerana ia adalah landasan utama peningkatan taraf hidup dan pemutus rantaian generasi kemiskinan. Belanjawan 2026 akan menggerakkan pelaksanaan agenda reformasi pendidikan seperti yang digariskan dalam RMK13 — dengan matlamat jelas: melahirkan bakat yang mampu memenuhi permintaan sektor HGHV di Malaysia. Pelaksanaan reformasi ini akan dipacu oleh penubuhan Majlis Pendidikan Negara yang bakal menyelaras pelaksanaan di semua peringkat Kerajaan dan institusi pendidikan.

Kerajaan juga bertekad untuk meningkatkan keberhasilan pendidikan merentas semua latar belakang sosioekonomi dan memastikan pembelajaran asas pelajar diperkukuh. Kerajaan akan terus berusaha untuk memperkukuh sokongan asas pendidikan bagi merapatkan jurang pencapaian, terutamanya kepada golongan rentan dalam kalangan masyarakat yang tidak mendapat perkhidmatan atau kurang mendapat perkhidmatan yang sewajarnya. Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum dalam bidang STEM, TVET dan pembelajaran sepanjang hayat sejajar dengan strategi tenaga kerja nasional dan sektor pertumbuhan tinggi masa hadapan.

Merapatkan Jurang Bandar – Luar Bandar

Selaras dengan Belanjawan MADANI terdahulu, Belanjawan 2026 meneruskan usaha Kerajaan untuk merapatkan jurang antara bandar-luar bandar dan memodenkan pembangunan wilayah termasuk kawasan terpencil dan kurang mendapat perhatian di Sabah dan Sarawak. Pelaburan utama akan tertumpu kepada infrastruktur dan utiliti asas termasuk jalan raya, air terawat, elektrik, sistem pembentungan dan internet berkelajuan tinggi.

Keperluan asas ini penting bagi kehidupan yang sejahtera dan memberi setiap rakyat Malaysia peluang saksama untuk meningkatkan mobiliti sosial.

Memperkasa Semua Golongan untuk Menyertai Ekonomi yang Berkembang

Belanjawan 2026 akan mengukuhkan komitmen Kerajaan terhadap pertumbuhan yang inklusif bagi memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang dan peringkat kehidupan, mempunyai capaian saksama kepada peluang. Strategi pemerkasaan kumpulan sasar adalah seperti dalam jadual di bawah:

Kumpulan Sasar  Inisiatif / Intervensi Utama
Belia Pengembangan program TVET, sokongan perusahaan sosial, akses pembiayaan dan platform digital
Wanita Pelaburan dalam infrastruktur penjagaan kanak-kanak, aturan kerja fleksibel, program peningkatan kemahiran dan keusahawanan
Warga Emas Memperkasakan perlindungan sosial, penjagaan geriatrik dan rumah, pembiayaan mampan penjagaan warga emas
Orang Kurang Upaya (OKU) Akses pendidikan inklusif, infrastruktur awam tanpa halangan, perkhidmatan digital, rangka kerja pekerjaan inklusif
Komuniti Orang Asli dan Pribumi Memperkukuh infrastruktur asas, kesihatan dan pendidikan lebih baik, pembangunan ekonomi berasaskan komuniti
Bumiputera Menumpukan strategi 3P — penyertaan luas, pemilikan bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik

Intervensi ini akan mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa pembangunan yang saksama bukan sahaja beretika malah ia penting dari segi ekonomi. Dengan pemerkasaan golongan belia, wanita, warga emas, OKU dan komuniti orang asli, negara membina keupayaan, memupuk maruah dan memastikan tiada siapa yang tercicir ketika Malaysia terus maju.

4. PENUTUP

Reformasi tidak dapat disempurnakan dalam sekelip mata. Untuk tahun keempat berturut-turut, Belanjawan MADANI meneruskan agenda memperbetul struktur yang sekian lama menghalang Malaysia mencapai potensi sepenuhnya. Negara ini dianugerahkan dengan sumber alam yang melimpah, lokasi strategik antara Timur dan Barat, serta kepelbagaian budaya yang memperkayakan kehidupan bersama. Perpaduan dalam kepelbagaian berlandaskan persefahaman dan keharmonian sosial, bukan sahaja menjadi teras identiti nasional malah menjadi asas penting bagi pembangunan yang mampan dan inklusif. Ekonomi MADANI dirangka untuk membuka potensi terpendam melalui dasar yang jelas dan konsisten yang memacu pembangunan ekonomi dan taraf hidup rakyat secara serentak. Belanjawan 2026 menandakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan visi jangka panjang ini.

Kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober 2025. Kementerian Kewangan akan menyelaras penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dan orang awam untuk mendapatkan input belanjawan selaras dengan keutamaan Ekonomi MADANI. Kerajaan komited untuk menterjemahkan input yang diterima ke dalam Belanjawan 2026 terutamanya yang dapat menyokong pemerkasaan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus yang lebih baik. Sebarang komen, maklum balas dan cadangan mengenai Belanjawan 2026 boleh disalurkan melalui portal rasmi: https://belanjawan.mof.gov.my


Kementerian Kewangan
8 Ogos 2025

↓ Muat turun: Kenyataan-Prabelanjawan-2026

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility