Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kerajaan Luaskan Kelayakan BUDI95 Kepada Nelayan, Pengguna Bot, Dan Pemegang Lesen Baharu

Kerajaan Luaskan Kelayakan BUDI95  Kepada Nelayan, Pengguna Bot,  Dan Pemegang Lesen Baharu

Lebih 31,000 rakyat lagi kini menerima manfaat sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95), selepas Kerajaan meluaskan kelayakan kepada tiga kelompok baharu:

  • Lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM);

  • Lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah; dan

  • Lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

Kementerian Kewangan (MoF) telah mengaktifkan kelayakan kepada individu-individu terbabit, menjadikan mereka sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang kini memanfaatkan harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.

MoF kini sedang memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri-negeri lain di seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak.

Pada masa yang sama, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing (EHO) sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas.

Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut. Portal ini turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
7 Oktober 2025

↓ Muat turun: Siaran-Media-kerajaan-luaskan-kelayakan-BUDI95

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility