Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kerajaan MADANI Berjaya Menyalurkan Semula Pinjaman SSER Bernilai RM5 Bilion

Kerajaan MADANI Berjaya Menyalurkan Semula Pinjaman SSER Bernilai RM5 Bilion

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, hari ini menyaksikan pemeteraian perjanjian penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion antara Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, dengan Export-Import Bank of China (CEXIM) bagi pembiayaan Skim Bekalan Air Perak Utara atau Northern Perak Water Supply Scheme (NPWSS).

Majlis pemeteraian ini turut disaksikan oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; Chen Huaiyu, Pengerusi CEXIM; Lin Shiguang, Charge d’Affaires Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia; serta Jun Xie, Naib Presiden China National Petroleum Corporation (CNPC).

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Encik Mohd Fariszan Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah SSER, dan Kang Wang, Naib Presiden CEXIM.

Sebagai latar belakang, susulan penamatan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) pada tahun 2018, Kerajaan Malaysia masih menanggung obligasi pembayaran balik pinjaman berkaitan berjumlah RM8 bilion kepada CEXIM walaupun projek-projek tersebut tidak dilaksanakan. Perkara ini masih belum dapat diselesaikan walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh tiga pentadbiran sebelum ini.

Pemeteraian perjanjian ini merupakan satu pencapaian penting bagi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memuktamadkan rundingan dan mendapatkan kembali sebahagian pinjaman tersebut melalui penyaluran semula RM5 bilion bagi melaksanakan NPWSS.

Langkah ini sekali gus mengurangkan kerugian yang timbul daripada projek TSGP dan MPP serta memastikan RM5 bilion tersebut dapat digunakan untuk membangunkan infrastruktur asas yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di negeri Perak dan Pulau Pinang.

NPWSS merupakan projek infrastruktur bekalan air bersepadu yang melibatkan penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kerja-kerja naik taraf di sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar, serta pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.

Projek ini menyasarkan kapasiti bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari bagi utara Perak termasuk kawasan perindustrian Kerian, 300 juta liter sehari bagi Pulau Pinang, dan 500 juta liter sehari air mentah untuk pengairan pertanian, dengan kerja pembinaan yang terlibat akan dilaksanakan oleh syarikat kontraktor tempatan.

Keterjaminan bekalan air merupakan antara keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh pembangunan ekonomi, khususnya di wilayah utara Perak. Pelaksanaan NPWSS dijangka memperkukuh keterjaminan air jangka panjang, memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian, serta menyokong pembangunan sosioekonomi.


KEMENTERIAN KEWANGAN
Putrajaya
30 Oktober 2026

↓ Muat Turun: Kerajaan Madani Berjaya Menyalurkan Semula Pinjaman SSER Bernilai RM5 Bilion

Arkib Siaran Media