Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kerajaan Madani Kekalkan Subsidi Bersasar Bahan Api Susulan Kenaikan Harga Minyak Global

Kerajaan Madani Kekalkan Subsidi Bersasar Bahan Api  Susulan Kenaikan Harga Minyak Global

Walaupun harga pam petrol RON95 dan diesel meningkat, harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 kekal RM1.99 seliter, manakala penerima bantuan tunai BUDI DIESEL dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim.

Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat Malaysia melalui inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI serta bantuan tunai tambahan, tatkala pasaran minyak global terus berdepan ketidaktentuan.

Walaupun harga bahan api akan diselaraskan bagi mencerminkan pergerakan harga minyak di pasaran global, Kerajaan akan terus menanggung sebahagian subsidi bagi meredakan kesan kenaikan harga pasaran kepada rakyat.

Kenaikan harga bahan api ini berlaku susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat berikutan serangan ke atas Republik Islam Iran.

Pada 9 Mac 2026, harga minyak Brent telah mencecah US$119 setong sebelum kembali turun ke sekitar US$90 setong, namun keadaan pasaran kekal tidak menentu.

Sehubungan dengan itu, harga pam RON95 dan RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen seliter, manakala harga pam diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 80 sen seliter.

Harga runcit bahan api bagi tempoh 12 Mac hingga 18 Mac 2026 adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Runcit
RON97  RM3.85 seliter (harga 11 Mac 2026: RM3.25 seliter)
RON95 tanpa subsidi  RM3.27 seliter (harga 11 Mac 2026: RM2.67 seliter)
Diesel (Semenanjung Malaysia) RM3.92 seliter (harga 11 Mac 2026: RM3.12 seliter)

 

Namun, bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga pasaran produk petroleum, Kerajaan akan:

  1. mengekalkan harga bersubsidi RON95 untuk rakyat pada harga RM1.99 seliter melalui BUDI95;
  2. mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk rakyat di Sabah dan Sarawak pada harga RM2.15 seliter;
  3. mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung Malaysia pada harga RM1.88 dan RM2.15 seliter masing-masing; dan
  4. menaikkan bantuan tunai bagi tempoh interim kepada pengguna kenderaan diesel yang layak dibawah BUDI Diesel Individu dan Budi Diesel Agri-Komoditi daripada RM200 kepada RM300 untuk bulan Mac 2026. Pembayaran tambahan RM100 akan dibuat mulai 17 Mac 2026.

Pada masa yang sama, usaha penguatkuasaan akan dipertingkat bagi membendung ketirisan serta mencegah penyalahgunaan bahan api bersubsidi, memandangkan harga bahan api di Malaysia masih kekal lebih rendah berbanding negara jiran.

Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
11 Mac 2026

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility