Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Maldives pada hari ini menandatangani Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali Mengenai Cukai Atas Pendapatan Dan Pencegahan Pelarian Dan Pengelakan Cukai (PPPDK) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
PPPDK Malaysia-Maldives ini ditandatangani bersama oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I, bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Tuan Yang Terutama Ibrahim Ameer, Menteri Kewangan Maldives, bagi pihak Kerajaan Republik Maldives.
Objektif utama perjanjian ini adalah untuk pengelakan pencukaian dua kali yang terbit daripada pendapatan yang sama di kedua-dua negara, sekaligus memberikan tax certainty kepada pembayar cukai kedua-dua negara rakan pejanji. Perjanjian PPPDK ini meliputi hak penentuan mengenakan cukai dan pengurangan kadar cukai pegangan ke atas pendapatan tertentu seperti dividen, faedah, royalti dan fi bagi perkhidmatan teknikal berasaskan timbal balas bagi aktiviti ekonomi rentas sempadan. Perjanjian ini akan berkuat kuasa sejurus selepas prosedur ratifikasi oleh kedua-dua pihak selesai.
Dengan termeterainya PPPDK ini, ianya dijangka akan menggalakkan lagi perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua buah negara. Jumlah perdagangan Malaysia ke Maldives telah meningkat di mana perdagangan dua hala berada pada aliran menaik dengan jumlah perdagangan pada 2022 berjumlah RM1,009.0 juta (USD227 juta), meningkat sebanyak 100.2% daripada RM504 juta (USD122 juta) pada tahun 2021. Melihat kepada aliran positif ini, adalah dijangka perdagangan dua hala akan terus berkembang. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia amat menggalakkan syarikat-syarikat kedua-dua negara untuk melabur dan mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi di Malaysia and Maldives.
Kementerian Kewangan Malaysia
Kuala Lumpur
24 Mei 2023