Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kerajaan Menanggung Subsidi Elektrik RM5.8 Bilion Untuk Rakyat Serta Jaminan Kerajaan RM6 Bilion Untuk Pinjaman TNB

Kerajaan Menanggung Subsidi Elektrik RM5.8 Bilion Untuk Rakyat Serta Jaminan Kerajaan RM6 Bilion Untuk Pinjaman TNB

Susulan kepada kenaikan mendadak harga bahan api dunia pada tahun ini, Kerajaan pada 24 Jun 2022 telah memutuskan untuk mengekalkan tarif elektrik bagi semua pengguna untuk separuh tahun kedua 2022 pada kadar yang sama dengan separuh tahun pertama 2022, walaupun kos penjanaan elektrik telah meningkat.

Pada awal tahun 2021, harga arang batu adalah sekitar USD80 se tan metrik, namun pada pertengahan tahun 2022, ianya telah mencecah USD400 se tan metrik. Sehubungan itu, Kerajaan akan menanggung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi memanfaatkan kesemua ahli Keluarga Malaysia daripada impak kenaikan kos elektrik.

Kerajaan akan membayar jumlah RM5.8 bilion tersebut kepada TNB bagi memastikan TNB tidak terkesan daripada kenaikan mendadak harga bahanapi untuk penjanaan elektrik selaras dengan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR). Kenaikan kos penjanaan elektrik juga meningkatkan keperluan modal kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB). Sehubungan itu, Kerajaan akan juga memberi jaminan ke atas pembiayaan TNB sehingga RM6 bilion untuk memastikan operasi TNB menjana bekalan elektrik tidak akan terganggu bagi manfaat Keluarga Malaysia, di samping memangkin kemampanan industri tenaga negara.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
27 Ogos 2022

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility