Malaysia, melalui Kementerian Kewangan (MOF), telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC [APEC Virtual Finance Ministers’ Meeting (AVFMM)] pada 25 September 2020. Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan, telah mempengerusikan mesyuarat tersebut yang telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada kementerian-kementerian kewangan, bank-bank pusat dan pengawal selia kewangan daripada anggota-anggota APEC serta organisasi-organisasi antarabangsa.
Tema AVFMM yang dianjurkan oleh Malaysia - ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’: Keterubahan, Keutamaan, Kemajuan [Optimising Human Potential towards a Resilient Future of Shared Prosperity: Pivot, Priorities, Progress] – menggambarkan betapa pentingnya falsafah kemakmuran bersama. Kesemua anggota APEC telah bekerjasama sebagai satu gabungan dan akan meneruskan kerjasama ini dengan penuh keikhlasan, serta secara bersepadu dan komprehensif, berlandaskan prinsip tanggungjawab bersama.
Mesyuarat tersebut, yang dianjurkan buat julung kalinya dalam format maya di Kementerian Kewangan, Putrajaya, menyediakan sebuah landasan untuk berkongsi dan bertukar idea mengenai intervensi fiskal dan kewangan untuk mengurangkan impak ekonomi pandemik COVID-19, dan juga untuk membangunkan ekonomi yang lebih berdaya tahan.
Tengku Zafrul berkata, "Proses Menteri-Menteri Kewangan APEC adalah landasan yang sangat baik untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi dan kewangan di rantau Asia Pasifik, serta isu-isu sosio-ekonomi nasional dan serantau. Dalam situasi di mana COVID-19 mengancam sistem kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia, anggota-anggota APEC telah bertindak balas dengan mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi impak pandemik tersebut. Harapan saya adalah agar pertemuan hari ini akan mengutarakan pelbagai cadangan dan buah fikiran untuk kita terus menyokong ekonomi masing-masing dalam menangani wabak COVID-19. "
Sejurus selepas perbincangan yang bermanfaat ini, barisan perwakilan tertinggi dari AVFMM mengeluarkan sebuah ‘Kenyataan Bersama Menteri-Menteri’. Kenyataan bersama itu menyuratkan bagaimana APEC, secara keseluruhan, menangani pandemik COVID-19 melalui langkah fiskal dan kewangan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian masyarakat serta perniagaan di negara masing-masing. APEC juga menyedari digitalisasi berperanan penting dalam memastikan integrasi dan keterangkuman kewangan, serta perlunya ada ketersediaan kewangan melalui pembiayaan dan insurans risiko bencana.
"Kenyataan Bersama Menteri-Menteri’ menggariskan semangat kerjasama serantau di antara anggota-anggota APEC dan saya berharap kerjasama dan komitmen tetap berterusan di antara semua anggota APEC kelak. Dalam hal ini, saya ingin mengalualukan New Zealand selaku Pengerusi seterusnya bagi Proses Menteri-Menteri Kewangan APEC 2021 yang akan datang. Sebagai tuan rumah tahun ini, Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Proses Mesyuarat MenteriMenteri Kewangan pada tahun hadapan,” tambah Tengku Zafrul.
Sejurus sebelum mesyuarat AVFMM, Tengku Zafrul juga telah mempengerusikan Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC [APEC Business Advisory Council (ABAC)], di mana Laporan ABAC 2020 bertajuk “Memacu Pemulihan dan Membentuk Semula Perkhidmatan Kewangan Pada Saat Pandemik [Accelerating Recovery and Reshaping Financial Services in the Wake of the Pandemic] telah dibentangkan kepada MenteriMenteri Kewangan APEC.
AVFMM telah dihadiri oleh Menteri-Menteri Kewangan APEC, wakil-wakil daripada BankBank Pusat, Pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan 2020, Pengarah Eksekutif APEC dan Pegawai-Pegawai Kanan Kewangan bagi anggota-anggota APEC. Turut hadir adalah wakil-wakil daripada Bank Pembangunan Asia, Bank Pembangunan Antara Amerika, Dana Kewangan Antarabangsa, Kumpulan Bank Dunia, Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, Majlis Penasihat Perniagaan APEC, Unit Sokongan Dasar APEC, dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik. Seramai 30 peserta telah menghadiri mesuyuarat ini secara atas talian. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC adalah pada tahun 1999.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
25 September 2020
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota Lingkaran Pasifik yang telah ditubuhkan pada tahun 1989. APEC telah ditubuhkan dengan tujuan untuk memupuk hubungan perdagangan dan ekonomi, selaras dengan kemunculan blok-blok perdangan serantau di serata dunia. Beribu pejabat di Singapura, APEC diiktiraf sebagai antara blok pelbagai-hala Asia Pasifik yang bertaraf paling tinggi, serta merupakan salah sebuah forum yang paling lama di rantau tersebut.
Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC berfungsi sebagai sebuah forum bagi ekonomi anggota APEC untuk membincangkan isu kewangan dan ekonomi makro, dan juga keutamaan kewangan domestik dan serantau. Mesyuarat ini berfungsi di peringkat Menteri. Mesyuarat ini diasaskan oleh pemimpinpemimpin APEC ketika mesyuarat pertama mereka pada tahun 1993. Menteri-Menteri Kewangan telah mengadakan perjumpaan setiap tahun sejak tahun 1994 di Honolulu, Hawaii dan yang terkini pada Oktober 2019 di Santiago, Chile.