YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan, telah menerima Lawatan Rasmi daripada TYT Li Qiang, Perdana Menteri Republik Rakyat China, di Perdana Putra pada 19 Jun 2024 (Rabu), sempena ulang tahun ke- 50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Di antara inti pati hasil perbincangan dua hala ini ialah tekad kedua-dua negara untuk memperkasa serta mempelbagaikan lagi aktiviti perdagangan antara Malaysia dan China.
Seiring tekad itu, YAB Dato’ Seri Anwar dan TYT Li bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama dalam Kerjasama Jendela Tunggal (Joint Working Group on Single Window Cooperation). Ini memberi ruang kepada kedua-dua negara untuk berbincang dan mengkaji lebih mendalam pendekatan terbaik melaksanakan kerjasama jendela tunggal, terutamanya melalui inisiatif Jendela Tunggal Nasional (National Single Window; NSW) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF).
“Kerjasama jendela tunggal antara Malaysia dan China ini berkebolehan untuk meningkatkan kecekapan proses perdagangan rentas sempadan melalui pendigitalan proses kawal selia perdagangan, penghapusan keperluan mengemukakan dokumentasi lewah dan menggalakkan pertukaran maklumat yang lebih lancar serta tepat di antara pemegang taruh dan rakan dagang lain,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
“Usaha untuk membangunkan kerjasama jendela tunggal ini juga menyantuni aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan transformasi digital dan memudah cara perniagaan bagi merancakkan lagi ekonomi negara,” tambah beliau.
Kerjasama single window yang telah dipersetujui ini telah dimaklumkan melalui Joint Statement of the Ministry of Finance of Malaysia and the General Administration of Customs of the People's Republic of China on Single Window Cooperation in Cross- Border Trade yang telah ditandatangani bersama oleh YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan TYT Yu Jianhua, Menteri Pentadbiran Am Kastam China.
Pada suku pertama 2024, perdagangan Malaysia dengan China mencatat kenaikan kepada RM112.28 bilion berbanding RM108.66 bilion pada tahun lalu. Ini meliputi jumlah eksport dari Malaysia ke China sebanyak RM44.5 bilion dan import dari China sebanyak RM67.78 bilion.
KEMENTERIAN KEWANGAN
Putrajaya
19 Jun 2024