Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Konflik Asia Barat Kembali Meruncing, Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi Naik 25 Sen

Konflik Asia Barat Kembali Meruncing, Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi Naik 25 Sen

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 25 sen seliter bagi tempoh 10 September hingga 16 September 2026.

Harga Runcit

Bahan Api   Harga Runcit Perubahan
RON97  RM4.50 seliter (harga 9 September 2026: RM4.25 seliter) Naik 25 sen
RON95  RM4.02 seliter (harga 9 September 2026: RM3.77 seliter) Naik 25 sen
Diesel  RM4.92 seliter (harga 9 September 2026: RM4.67 seliter) Naik 25 sen

Harga minyak mentah dunia meningkat ketara sepanjang tempoh pengiraan harga APM susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.

Harga minyak mentah Brent meningkat sepanjang tempoh pengiraan APM sebelum mencecah AS$97.31 setong pada Isnin. Premium risiko geopolitik terhadap bekalan minyak dunia turut meningkat susulan serangan berbalas yang berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pada masa sama, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat. Gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat serta serangan berterusan terhadap loji penapisan Rusia telah mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa. Harga diesel di pasaran antarabangsa turut meningkat lebih pantas berbanding minyak mentah berikutan kekangan kapasiti penapisan dan inventori yang semakin menyusut.

Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal. Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia.

Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

Perlindungan melalui BUDI MADANI

Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.02 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.03 seliter, bersamaan 50% daripada
harga tanpa subsidi.

Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.92 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM2.82 seliter, atau 57% daripada harga tanpa subsidi.

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Subsidi
RON95 (BUDI95)  RM1.99 seliter
Diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter
Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS)  RM2.05 seliter
Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)  RM2.15 seliter

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

Mulai 1 September 2026, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel telah dinaikkan semula kepada 300 liter. Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.

Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
9 September 2026

↓Muat Turun : Media-Harga-Petroleum-09092026

 

Arkib Siaran Media