Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Konsolidasi Fiskal Kekal Di Landasan Tepat: Intipati Utama Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2025

Konsolidasi Fiskal Kekal Di Landasan Tepat: Intipati Utama Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2025

Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menerbitkan Laporan Ekonomi Malaysia bagi Suku Pertama 2025 (S1 2025). Diterbitkan setiap suku tahun, Laporan ini menyediakan gambaran menyeluruh mengenai prestasi makroekonomi negara dan kedudukan fiskal semasa, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan awam.

Dalam Laporan edisi terbaharu ini, MOF dengan sukacitanya menyorot beberapa pencapaian utama sepanjang S1 2025 — mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemampanan fiskal negara:

  • Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 menyusut kepada RM21.9 bilion (akhir-Mac 2024: -RM26.4 bilion), didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal;
  • Hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak 3% berbanding suku yang sama tahun 2024 kepada RM72.1 bilion, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi, terutamanya daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu;
  • Jumlah perbelanjaan menurun sebanyak 2.5% kepada RM94.2 bilion, terutamanya disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi berikutan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel dan harga minyak global yang lebih rendah. Namun begitu, program bantuan sosial bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Insentif Pendaratan Ikan dan Skim Subsidi Harga Padi terus diperkukuh. Di samping itu, peruntukan kepada badan berkanun turut dioptimumkan hasil keberkesanan dan kecekapan operasi agensi berkaitan;
  • KDNK benar Malaysia berkembang sebanyak 4.4%, mengatasi kadar pertumbuhan 4.2% yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lalu — didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pemulihan berterusan dalam sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Laporan penuh Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2025 boleh diakses melalui pautan berikut: https://mof.gov.my/portal/pdf/ekonomi/suku-tahunan/


 

Kementerian Kewangan
Putrajaya
22 Mei 2025

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility