Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Lanjutan daripada pengumuman Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) oleh YAB Perdana Menteri pada 23 Mac 2020

Lanjutan daripada pengumuman Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) oleh YAB Perdana Menteri pada 23 Mac 2020

Lanjutan daripada pengumuman Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) oleh YAB Perdana Menteri pada 23 Mac 2020, Kementerian Kewangan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi Kerajaan yang berkaitan untuk memastikan keberkesanan peruntukan kewangan bagi menangani penularan wabak COVID-19. Selain dari kelulusan peruntukan sebanyak RM500 juta kepada KKM, Kementerian juga telah meluluskan kelonggaran tatacara perolehan1 dengan membenarkan KKM untuk melaksanakan pembelian secara darurat, terutamanya bagi peralatan kritikal seperti ventilator.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, juga akan melancarkan kemudahan pengeluaran i-Lestari2, yang membenarkan semua ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah membuat pengeluaran wang simpanan dari Akaun 2, tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan sahaja. Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020 manakala pengeluaran boleh dibuat dari 1 Mei 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan lebih kurang 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada skim bantuan Kerajaan yang lebih menyeluruh untuk membantu rakyat Malaysia bagi menghadapi cabaran memenuhi keperluan bulanan mereka. Adalah diharapkan kemudahan ini – ditambah pula dengan pengurangan kadar caruman syer pekerja sebanyak 4% – akan dapat membantu ahli KWSP meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan yang serba mencabar ini.

Selain itu, Kementerian Kewangan juga baru-baru ini telah meluluskan langkah-langkah berikut:

1. POTONGAN CUKAI BAGI SUMBANGAN DAN DERMA KEPADA TABUNG COVID-19 DAN KEMENTERIAN KESIHATAN

Kerajaan menyambut baik sumbangan dan derma yang dibuat oleh rakyat Malaysia serta sektor korporat dalam bersama-sama membantu menangani wabak COVID-19. Oleh itu, Kementerian Kewangan ingin mengiktiraf sumbangan yang dibuat oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang pada masa kini telah mencecah nilai RM60 juta dalam bentuk ubat-ubatan, peralatan perubatan serta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada KKM. Sektor korporat turut disarankan untuk mengikuti teladan GLC kerana semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan negara kita berjaya menangani wabak COVID-19. Sehubungan ini, Kementerian telah meluluskan potongan cukai bagi sumbangan dan derma dalam bentuk tunai dan barangan yang dibuat kepada Tabung COVID-19 dan KKM.

2. PENGECUALIAN DUTI IMPORT DAN CUKAI JUALAN BAGI TOPENG MUKA

Kerajaan mengambil berat kesukaran yang dihadapi oleh rakyat bagi mendapatkan bekalan topeng muka ekoran peningkatan permintaan yang mendadak. Dengan ini, Kementerian Kewangan telah meluluskan pengecualian duti import serta cukai jualan ke atas topeng muka bagi pasaran tempatan. Semua pihak disarankan untuk membuat pembelian secara berpatutan dan mengikut keperluan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk semua. Sehubungan dengan itu, bagi meningkatkan bekalan domestik, Kerajaan juga telah melaksanakan larangan eksport ke atas topeng muka.

3. UNIT PELAKSANAAN & KOORDINASI STIMULUS EKONOMI ANTARA AGENSI NASIONAL (LAKSANA)

Selaras dengan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) Kementerian Kewangan telah mengumumkan penubuhan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) pada 16 Mac 2020 untuk memantau pelaksanaan PRE2020. Unit tersebut akan membuat laporan berkala kepada majlis EAC bagi memastikan inisiatif yang diumumkan di bawah PRE2020 dan inisiatif selanjutnya dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam masa terdekat. Sukacita diumumkan bahawa setakat 23 Mac 2020, pelaksanaan inisiatif PRE2020 berjalan lancar. Di antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan termasuklah:

  1. Pengecualian Cukai Perkhidmatan untuk perhotelan berkuatkuasa 1 Mac 2020;
  2. Penjadualan dan penstrukturan semula (Rescheduling & Restructuring) pinjaman oleh institusi kewangan bagi peminjam-peminjam yang terjejas, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan golongan B40;
  3. Dana pinjaman mudah sebanyak RM3.3 bilion disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu PKS mengekalkan operasi perniagaan, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik. Kemudahan ini akan dikendalikan oleh BNM melalui institusi-institusi kewangan domestik. Pembiayaan ini termasuklah penyediaan dana Bantuan Kemudahan Khas (“Special Relief Fund”) sebanyak RM2 bilion; Kemudahan Agromakanan (“AgroFood”) dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion; serta Kemudahan Automasi dan Digital sebanyak RM300 juta kepada PKS;
  4. Pembayaran awal RM200 Bantuan Sara Hidup pada 16 Mac 2020, dan
  5. Pindaan pada garis panduan perolehan bagi melancarkan proses perolehan Kerajaan

Selain itu, persiapan bagi langkah-langkah utama yang disasarkan untuk berkuatkuasa pada 1 April 2020 sedang berjalan lancar. Ini termasuklah langkah penangguhan bayaran ansuran bulanan cukai pendapatan bagi industri pelancongan, pengurangan caruman KWSP serta pemberian diskaun bil elektrik. Berdasarkan peruntukan langsung Kerajaan sebanyak RM3.2 bilion yang disediakan di bawah PRE 2020, sehingga 23 Mac 2020, sebanyak RM1.7 bilion telah disalurkan kepada Kementerian dan agensi yang berkenaan.

4. PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI KEDUA 2020

Seperti yang telah dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri, Kerajaan akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua 2020 pada 30 Mac 2020. Proses penyediaan PRE tersebut sedang giat dijalankan dan akan mengambilkira maklumbalas dari pelbagai pihak berkepentingan demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan syarikat sektor swasta dan kedayatahanan ekonomi negara dalam berdepan dengan cabaran COVID-19 serta ketidaktentuan ekonomi global. Rakyat Malaysia juga turut dijemput memberi maklumbalas untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua melalui portal rasmi Kementerian Kewangan di pre2020.treasury.gov.my


YB TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia
Putrajaya
23 Mac 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility