Saya merujuk kepada laporan berita oleh Utusan Malaysia bertarikh 20 Februari 2019 bertajuk “Kerajaan akui SST tidak mampu kurangkan harga barang”. Kenyataan yang dipetik dalam berita tersebut diambil semasa saya memberikan ucapan di Semenyih malam sebelumnya. Berdasarkan laporan berkenaan, saya mendapati berita berkenaan dilaporkan diluar konteks sebenar ucapan kerana wartawan hanya memetik pendahuluan kepada ucapan saya.
Dalam ucapan berkenaan saya menyatakan bahawa melalui pelaksanaan SST, Kerajaan telah mengembalikan hasil sebanyak RM23 bilion melalui pengurangan bilangan barangan yang dicukai berbanding rejim GST. Langkah murni ini tidak memberi impak signifikan kepada harga barangan di pasaran sehingga membebankan rakyat, kerana kadar inflasi bagi tahun 2018 adalah 1% (setelah pemansuhan GST dan SST diperkenalkan semula), berbanding 3.7% bagi tahun 2017 (semasa GST masih dilaksanakan). Perbandingan Indeks Harga Pengguna (CPI) antara 2018 dan 2017 ini menunjukkan bahawa GST telah menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi berbanding SST.
Walau bagaimanpun, sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggung jawab, kita tidak duduk dan lihat sahaja keluh kesah rakyat mengenai isu harga barangan ini tetapi mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan terperinci bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melihat keseluruhan rantaian perbekalan barangan.
Kita sedia maklum KPDNHEP mempunyai maklumat tentang perbandingan harga barang seluruh negara manakala Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempunyai maklumat mengenai harga yang diisytiharkan semasa barangan diimport. Melalui kerjasama diantara dua Kementerian ini, Kerajaan dapat mengenalpasti di peringkat manakah terdapat kemungkinan eksploitasi harga dengan sesetengah pihak mengambil untung secara tidak munasabah. Seterusnya, satu langkah dan dasar yang efektif dapat dirangka supaya peluang-peluang pihak yang tidak bertanggunjawab untuk memanipulasi harga ditangani dengan berkesan.
Sebagai sebuah institusi media arus perdana, Utusan Malaysia sepatutnya menghormati etika kewartawanan dengan melaporkan berita secara berhemah dan tidak dimanipulasikan untuk kepentingan pihak tertentu.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
20 Februari 2019