Merujuk kepada artikel yang diterbitkan di Malaysiakini bertarikh 4 Oktober 2021, bertajuk “Politicians, Ministers and M’sian Uber Rich Revealed in Latest Offshore Leak”, saya ingin memaklumkan bahawa saya telah memegang jawatan Pengarah Kumpulan dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Berhad dari Januari 2009 hingga Jun 2010. Melalui jawatan ini, saya juga telah dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat atau syarikat bersekutu Kumpulan Kenanga, termasuk di Capital Investment Bank (Labuan) Limited.
Pada bulan Jun 2010, saya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd dan telah melepaskan kesemua perlantikan saya sebagai eksekutif dan pengarah di dalam Kumpulan Kenanga.
Walaupun pejabat saya ketika dihubungi telah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa saya telah melepaskan jawatan pengarah ketika saya meninggalkan Kumpulan Kenanga pada bulan Jun 2010, mereka tetap menerbitkan artikel tersebut dan membabitkan nama saya dengan memberi gambaran bahawa saya masih mempunyai kaitan dengan Capital Investment (Labuan) Limited, walhal ianya adalah sebahagian daripada Kumpulan Kenanga. Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam saya untuk mendapatkan nasihat lanjut dan tindakan susulan yang sewajarnya
YB Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Malaysia
4 Oktober 2021