YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan mengalu-alukan kehadiran TYT Lawrence Wong, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, sempena lawatan kerja beliau dari 4 hingga 7 September 2022.
TYT Lawrence Wong dijadualkan menghadap Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, serta mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Selain itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Pertahanan; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus; serta mengadakan sesi dialog tertutup bersama Kuala Lumpur Business Club.
Lawatan kerja TYT Lawrence Wong ini merupakan peluang untuk Malaysia dan Singapura bertukar-tukar pendapat dalam pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa, selain memperkukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua negara.
Selain jiran terdekat, Singapura juga merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak RM267.11 bilion (USD64.43 bilion) pada tahun 2021, peningkatan 25.2 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada tahun 2020.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
4 September 2022