YAB Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Unit LAKSANA di Kementerian Kewangan hari ini. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau operasi serta status pelaksanaan langkah-langkah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020); Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion.
YAB Perdana Menteri telah diiringi oleh YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan; YB Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan II; YBhg. Datuk Seri Mohd. Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Dato’ Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perdendaharaan serta YBhg. Dato’ Shahrul Nazri Dato’ Abdul Rahim, Pengarah LAKSANA. Turut hadir pada lawatan tersebut adalah pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan.
Antara agenda utama lawatan YAB Perdana Menteri adalah untuk melancarkan Papan Pemuka Digital (Digital Dashboard) yang telah dibangunkan oleh LAKSANA. Papan Pemuka Digital tersebut bertujuan untuk memastikan proses pemantauan dan pelaksanaan Pakej PRIHATIN dan PENJANA dibuat dengan telus, cepat dan tepat.
Papan Pemuka Digital tersebut berupaya menghubungkan data daripada 53 Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan langkah- langkah di bawah Pakej-Pakej PRE2020, PRIHATIN dan PENJANA. Pendekatan ini membolehkan Kerajaan bertindak secara dinamik dan segera berdasarkan data raya (big data) dalam membuat keputusan, memastikan keberkesanan penyampaian bantuan dan perkhidmatan, serta membuat penghalusan yang perlu bagi memastikan bantuan Kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan yang disasarkan.
Pengumpulan data secara berpusat dan hidup (centralised and live data collection) yang dipaparkan melalui Papan Pemuka Digital ini adalah hasil kerjasama Kementerian-kementerian dan agensi-agensi, selaras dengan usaha Kerajaan ke arah e-perkhidmataan, sebagai persediaan untuk Revolusi Industri 4.0, serta anjakan menghadapi norma baharu.
YAB Perdana Menteri juga telah meluangkan masa berinteraksi bersama beberapa penerima bantuan di bawah Pakej PRIHATIN melalui platform video maya. Ini termasuk:
Selain daripada itu, YAB Perdana Menteri telah diberikan taklimat mengenai usaha- usaha LAKSANA. Ini termasuk laporan mingguan pencapaian Pakej PRIHATIN dan PENJANA oleh Menteri Kewangan yang bertujuan untuk memastikan ketelusan dalam penyampaian pakej berjumlah RM295 bilion ini kepada Rakyat dan syarikat- syarikat yang memerlukan. Tambahan pula, usaha LAKSANA dalam memantapkan jalinan kerjasama antara sektor awam dan swasta juga merupakan tunjang penting bagi menjayakan pelan pemulihan ekonomi negara.
Pejabat Perdana Menteri
16 Jun 2020