Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Layanan Cukai FSI dan Duti Setem Nota Kontrak

Layanan Cukai FSI dan Duti Setem Nota Kontrak
  1. PENAMBAHBAIKAN DASAR LAYANAN CUKAI KE ATAS PENDAPATAN LUAR NEGARA (FOREIGN SOURCE INCOME- FSI)
  2. PEREMITAN DUTI SETEM KE ATAS NOTA KONTRAK BAGI DAGANGAN SAHAM TERSENARAI DI BURSA MALAYSIA

  1. PENDAPATAN YANG DITERIMA DARI LUAR NEGARA

Semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, Kerajaan telah mengumumkan cadangan langkah untuk mengenakan cukai ke atas pendapatan pemastautin yang diterima dari luar negara mulai 1 Januari 2022. Ini bermakna semua jenis pendapatan FSI yang diterima oleh pemastautin Malaysia akan tertakluk kepada pengenaan cukai.

Pelaksanaan cadangan layanan cukai tersebut dilaksanakan melalui Rang UndangUndang Kewangan 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Disember 2021 dan di Dewan Negara pada 23 Disember 2021.

Kerajaan dengan pihak berkepentingan termasuk industri dan pengamal percukaian telah bersama-sama berbincang mengenai pelaksanaan inisiatif. Justeru, bagi memastikan kelancaran pelaksaan langkah cukai ini, Kerajaan telah bersetuju untuk mengecualikan cukai ke atas pendapatan yang diterima dari luar negara kepada pembayar cukai pemastautin berdasarkan kategori dan syarat substantif yang berikut:

 

Kategori Pembayar Cukai    Jenis Pendapatan yang Dikecualikan Cukai Syarat Kelayakan 
Syarikat/ Perkongsian Liabiliti Terhad   Pendapatan dividen   Tertakluk kepada syarat kelayakan yang akan diperincikan dalam garis panduan Lembaga Hasil Dalam Negeri
 Individu  Semua jenis pendapatan 

 

Pengecualian ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026. Selain daripada jenis pendapatan yang disebutkan di atas adalah tertakluk kepada pengenaan cukai di Malaysia.

Bagi kategori pembayar cukai individu, Kerajaan memberikan pengecualian kepada semua individu kecuali yang menjalankan perniagaan perkongsian (partnership) di Malaysia, di mana akan tertakluk kepada cukai bagi pendapatan FSI yang diterima. Manakala bagi kategori bukan pemastautin (individu, syarikat, dan lain) masih kekal layak dikecualikan cukai pendapatan.

Pada masa yang sama, sukacita dimaklumkan bahawa FSI yang diterima dalam tahun taksiran 2022 adalah dikecualikan daripada pengiraan cukai bagi tujuan Cukai Makmur.

  1. PEREMITAN DUTI SETEM KE ATAS NOTA KONTRAK BAGI DAGANGAN SAHAM TERSENARAI DI BURSA

Dalam pengumuman Bajet 2022, Kerajaan juga telah mencadangkan kadar duti setem ke atas nota kontrak bagi dagangan saham/stok tersenarai di Bursa Malaysia dikaji semula supaya ia dinaikkan daripada 0.1 peratus kepada 0.15 peratus iaitu bersamaan dengan RM1.50 bagi setiap RM1,000 dan kenaan had duti setem RM200 (Ringgit Malaysia Dua Ratus) bagi setiap nota kontrak berkaitan dimansuhkan.

Mengambil kira pandangan dan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk industri pasaran saham bagi memastikan pasaran saham di Bursa Malaysia terus kekal rancak dan dinamik, Kerajaan mengambil pendekatan melaksanakan inisiatif ini dengan mengenakan kadar duti setem 0.15 peratus ke atas nota kontrak bagi dagangan saham/stok dan amaun maksimum duti setem yang dikenakan bagi setiap nota kontrak ini adalah dihadkan sehingga RM1,000.

Amaun duti setem yang melebihi RM1,000 akan diremitkan dan peremitan ini adalah terpakai kepada semua nota kontrak bagi tempoh mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026 bagi dagangan saham/stok yang disenaraikan di pasaran Bursa Malaysia yang diluluskan di bawah subseksyen 8(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Kerajaan akan sentiasa memastikan layanan cukai kepada pembayar cukai adalah berdasarkan prinsip adil dan saksama selain kekal komited terhadap pematuhan amalan terbaik percukaian di peringkat antarabangsa.


Kementerian Kewangan
30 Disember 2021

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility