Sepanjang bulan April 2025, lebih 3.9 juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah mula menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas daripada kedai yang berdaftar dengan SARA. Ini merupakan sambutan yang menggalakkan apabila 72% daripada jumlah 5.4 juta penerima SARA mula untuk berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan SARA. Penerima SARA telah ditingkatkan daripada 700,000 kepada 5.4 juta mulai bulan April 2025.
Bilangan kedai runcit/pasar raya berdaftar di bawah SARA telah mencecah lebih 3,700 buah di seluruh negara berbanding 700 buah pada tahun 2024. Bilangan kedai runcit akan terus ditambah bagi memastikan terdapat kedai SARA yang berdekatan dengan tempat tinggal setiap penerima.
Mulai 1 Mei 2025, program SARA juga telah ditambah baik melalui peluasan barangan asas yang dibenarkan iaitu meliputi produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci untuk pakaian, pinggan mangkuk dan lantai. Kerajaan MADANI mengambil keputusan untuk menambah kategori barangan SARA susulan permintaan meluas para penerima.
Dengan ini, kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14, merangkumi pelbagai barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
“Kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara rakyat demi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terbela. Peluasan kategori barangan yang dibenarkan di bawah SARA ini adalah hasil maklum balas diterima daripada majoriti penerima. Arakian, Kerajaan bertindak segera untuk melaksanakannya,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus menambah baik pelaksanaan program SARA dari semasa ke semasa,” tambah beliau.
Dari segi prestasi pelaksanaan SARA sehingga 29 April 2025, peratus tertinggi penerima yang telah membuat pembelian SARA melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84%, diikuti Perlis (82%), Kedah (80%), Wilayah Persekutuan Labuan (79%) dan Kelantan (78%).
Kadar maksimum SARA yang diterima adalah sehingga RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada tahun 2024, peningkatan 75% daripada yang diterima pada tahun lepas. Pembelian SARA boleh dibuat sepanjang tahun dan baki kadar/kredit bulanan SARA akan dibawa ke bulan seterusnya sehingga 31 Disember 2025.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
1 Mei 2025