Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Lembaga Totalisator Malaysia Telah Meluluskan Tiga Lawatan Sambil Belajar ke Luar Negeri Kepada Pegawai Kanan PDRM sebelum 2017

Lembaga Totalisator Malaysia Telah Meluluskan Tiga Lawatan Sambil Belajar ke Luar Negeri Kepada Pegawai Kanan PDRM sebelum 2017

Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak tahu langsung tentang sumbangan dan tajaan lawatan kerja pegawai kanan PDRM yang diberikan oleh Lembaga Totalisator Malaysia kerana ia diputuskan oleh Lembaga Pengarah (LP) badan tersebut. Lembaga Totalisator Malaysia adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961 [Akta 494]. Oleh kerana sebarang keputusan oleh Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia tidak perlu dirujuk kepada Menteri Kewangan maka tajaan membiayai lawatan kerja pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki tidak pernah dimaklumkan atau diluluskan oleh saya sebagai Menteri Kewangan.

Ini sebagai membalas dakwaan daripada Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa saya membenarkan sebuah syarikat judi membiayai lawatan kerja Pegawai Kanan PDRM ke Istanbul, Turki, yang menurut beliau menunjukkan saya langsung tidak sensitif terhadap hukum Islam dan sentimen rakyat. Tuduhan beliau ini adalah tidak benar dan tidak berasas.

Lebih-lebih lagi, Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia telah meluluskan permohonan lawatan kerja tersebut pada 23 November 2017 dengan jumlah RM184,648 iaitu sebelum saya dilantik menjadi Menteri Kewangan dan semasa Datuk Dr Asyraf masih lagi memegang jawatan Timbalan Menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kerajaan lama yang dipimpin oleh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini bukan kali pertama Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia meluluskan lawatan kerja oleh pegawai PDRM. Sebelum lawatan sambil belajar ini, sebanyak tiga lawatan kerja pegawai kanan PDRM ke luar negeri pernah diluluskan oleh Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia iaitu pada 12 hingga 17 Jun 2012 berjumlah RM69,763 (diluluskan oleh LP pada 27 Mac 2012), 10 hingga 14 Jun 2013 berjumlah RM95,040 (diluluskan oleh LP pada 20 Mac 2013), dan 1 hingga 6 Mei 2014 berjumlah RM128,400 (diluluskan oleh LP pada 11 Februari 2014). Ini jelas membuktikan kesemua lawatan diluluskan semasa pentadbiran Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional dan Datuk Seri Najib Tun Razak masih Perdana Menteri Malaysia.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

15 Februari 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility