Pilih bahasa anda
Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 hari ini yang dipengerusikan oleh YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menjadi mukadimah kepada perjalanan menuju Belanjawan MADANI Kelima yang akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026.
Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan (MoF) turut meluncurkan Portal Cadangan Belanjawan 2027 dan Kenyataan Pra-Belanjawan 2027. Pandangan rakyat, komuniti perniagaan serta pemegang taruh dialu-alukan untuk memperhalusi penyediaan Belanjawan 2027 agar menyeluruh dan memenuhi keperluan rakyat di segenap pelosok negara.
Dengan tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan 2027 merupakan belanjawan negara kelima di bawah Kerajaan MADANI, yang meneruskan penekanan kepada kerangka Ekonomi MADANI dan bercita-cita besar untuk pembangunan negara ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi serta menegakkan keadilan sosial bagi segenap lapisan masyarakat.
Justeru, hampir 400 peserta daripada agensi Kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa telah memberikan pandangan dan mengemukakan cadangan untuk memantapkan penyediaan Belanjawan 2027.
YAB Dato’ Seri Anwar berkata Belanjawan 2027 mesti menyambut suara rakyat serta memenuhi harapan mereka dengan usaha merancakkan pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup dek konflik di Asia Barat. Kerajaan MADANI akan utamakan harapan rakyat serta menangani isu keresahan rakyat demi melindungi kesejahteraan keluarga,” tambah beliau.
“Justeru, Kerajaan MADANI merakamkan penghargaan kepada semua yang menyumbang pandangan dalam Majlis Libat Urus Belanjawan 2027. Kita harus mendengar suara daripada segenap lapisan masyarakat supaya kemajuan negara tidak hanya terlihat pada angka, tetapi benar-benar dirasai rakyat di seluruh pelosok negara,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
Belanjawan 2027 kekal berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI, yakni Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat serta Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 yang diterbitkan hari ini menggariskan 10 bidang tumpuan sebagai panduan kepada proses libat urus sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan.
“Ini termasuk usaha menangani tekanan kos sara hidup; memperkukuh perlindungan sosial; memperkasa pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas; meningkatkan daya saing perniagaan dan produktiviti; serta memperkukuh keterjaminan makanan dan daya tahan ekonomi,” tambah beliau.
Antara perkara yang turut dibincangkan dalam Majlis Libat Urus hari ini termasuk memperluas perlindungan sosial dan penjagaan kesihatan primer, meningkatkan daya saing perniagaan melalui automasi dan kecerdasan buatan (AI), mempercepat peralihan hijau serta kesiapsiagaan pasaran karbon, di samping memperkukuh daya tahan isi rumah dan keterjaminan makanan.
Sesi hari ini merupakan permulaan kepada siri mesyuarat kumpulan fokus yang akan dilaksanakan bagi memperhalusi cadangan daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat. MoF akan menyusul dengan siri jelajah Belanjawan 2027 bagi menyantuni rakyat serta pemegang taruh di serata wilayah dan negeri.
Orang ramai turut dijemput untuk mengemukakan pandangan dan cadangan melalui Portal Cadangan Belanjawan 2027 di https://belanjawan.mof.gov.my/ sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan menjadikan proses penyediaan belanjawan lebih telus, terangkum dan berteraskan penyertaan rakyat.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
18 Ogos 2026
↓ Muat turun: Siaran-Media-Majlis-Libat-Urus-Belanjawan-20276