Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Majlis Dialog Belanjawan 2023

Majlis Dialog Belanjawan 2023

Majlis Dialog Belanjawan 2023 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan pada hari ini. Majlis ini merupakan satu wadah antara Kerajaan dengan pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi Kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dalam proses merangka belanjawan negara.

Majlis ini merangkumi dua sesi iaitu ucaptama oleh YAB Perdana Menteri dan sesi dialog yang dihadiri lebih 200 orang peserta turut mencadangkan langkah-langkah yang sesuai untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2023 yang dijadualkan dibentang di Parlimen pada 24 Februari 2023.

Selaras dengan tema “Membangun Malaysia Madani”, Belanjawan 2023 akan dirancang dan digubal berdasarkan kerangka MADANI yang menghimpunkan enam buah rukun iaitu pembangunan mampan, negara yang aman makmur, cergas berdaya cipta, negara yang amanah, masyarakat Malaysia yang dibina dengan nilai hormat dan negara yang mendukung nilai ihsan dan rahmah.

Peserta majlis dialog telah mengutarakan pelbagai cadangan antaranya seperti perhatian kepada kesihatan mental dan keperluan OKU, kesaksamaan gender di dalam peluang pendidikan dan pekerjaan, kesejahteraan keluarga dan pemerkasaan NGO.

Sementara itu, cadangan untuk mengupaya PKS, merancakkan pertanian bandar sebagai penyumbang kepada sekuriti makanan dan kelestarian alam sekitar juga dibincangkan. Terdapat juga keperluan mendesak untuk memastikan inisiatif disediakan bagi memastikan kelansungan hidup kumpulan rentan dan menambah baik proses pendigitalan di dalam penyampaian Kerajaan.

Majlis dialog pada hari ini merupakan titik tolak kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif yang bakal diadakan dalam masa terdekat untuk memperhalusi input Belanjawan 2023. Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih. Di samping itu, sebagai pelengkap kepada majlis dialog pada hari ini, Kementerian Kewangan juga melancarkan Portal Cadangan Belanjawan 2023. Portal ini merupakan salah satu usaha Kerajaan dalam menjadikan proses penyediaan belanjawan tahunan lebih telus dan inklusif yang mengalu-alukan penglibatan semua lapisan rakyat. Seluruh pihak dijemput untuk mengemukakan cadangan dengan melayari laman web Kementerian Kewangan di pautan https://bit.ly/cadanganbelanjawan2023.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
17 Januari 2023

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility