Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) hari ini menyerahkan kepada YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama), peruntukan sebanyak RM50 Juta untuk digunakan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah tahfiz yang berdaftar.
Penyerahan peruntukan tersebut adalah susulan daripada pengumuman semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018 lalu. Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan komited memberi bantuan kepada semua jenis sekolah secara inklusif supaya kebajikan dan hal ehwal semua pelajar terus terpelihara. Kerajaan akan menyalurkan dana kepada sekolah-sekolah tahfiz dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik, selaras dengan matlamat Kerajaan untuk memisahkan pendidikan dari pengaruh parti politik.
Belanjawan 2019 membuktikan komitmen ini melalui peruntukan menaik taraf dan menyelenggara untuk jenis-jenis sekolah sebanyak RM652 Juta, berbanding RM600 Juta dalam Bajet 2018. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM25 Juta untuk sekolah pondok berdaftar yang telah disampaikan kepada YB Datuk Seri Mujahid pada awal bulan lalu, yang tidak diberikan dalam Bajet 2018. Tambahan lagi, peruntukan untuk hal ehwal agama Islam juga telah ditingkatkan sebanyak RM100 Juta di dalam Belanjawan 2019, daripada RM1.1 Bilion kepada RM1.2 Bilion.
Walaupun berhadapan dengan keadaan kewangan yang mencabar, Kerajaan akan berusaha untuk memberi bantuan kepada semua jenis sekolah dan institusi pendidikan yang berdaftar mengikut kemampuan semasa. Kerajaan sangat prihatin dengan kualiti pembelajaran dan kebajikan para pelajar di sekolah-sekolah yang berdaftar, dan MOF akan terus memainkan peranannya dalam meningkatkan mutu persekolahan dan pendidikan untuk semua.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
13 Februari 2019