Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Majlis Penyerahan Cek Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian Yang Berdaftar

Majlis Penyerahan Cek Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian Yang Berdaftar

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) hari ini menyerahkan kepada YB Dr Maszlee Bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, peruntukan sebanyak RM25 Juta untuk digunakan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian yang berdaftar. Ini merupakan kali pertama pemberian seperti ini diluluskan oleh MOF.

Ini merupakan kali pertama sekolah agama rakyat dan persendirian menerima dana daripada Kerajaan Persekutuan, dan ia merupakan pemberian secara terus daripada MOF kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pemberian ini memperlihatkan komitmen Kerajaan membantu sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan secara inklusif, dan ini termasuk pemberian sebanyak RM15 Juta kepada Universiti Islam Malaysia, sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Belanjawan 2019 juga telah memperuntukkan dana menaik taraf dan menyelenggara untuk jenis-jenis sekolah sebanyak RM652 Juta, berbanding RM600 Juta dalam Bajet 2018. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM25 Juta untuk sekolah pondok berdaftar yang tidak diberikan dalam Bajet 2018, dan RM50 Juta kepada Sekolah Tahfiz yang berdaftar. Tambahan lagi, peruntukan untuk hal ehwal agama Islam juga telah ditingkatkan sebanyak RM100 Juta di dalam Belanjawan 2019, daripada RM1.1 Bilion kepada RM1.2 Bilion.

Kerajaan mengambil berat hal ehwal dan kebajikan para pelajar, sekolah-sekolah, dan institusi-institusi pendidikan supaya kualiti pendidikan yang disampaikan mencapai tahap yang memuaskan. Selain itu, Kerajaan juga mahu memastikan suasana pembelajaran para pelajar selamat dan sihat.

Maka untuk sebab ini, Kerajaan akan menyalurkan dana kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan persendirian dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik atau ahli politik, selaras dengan matlamat Kerajaan untuk memisahkan pendidikan dari pengaruh parti politik. Saya ingin tekankan bahawa MOF akan terus memainkan peranannya dalam meningkatkan mutu persekolahan dan pendidikan untuk semua, mengikut kemampuan semasa.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

14 Februari 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility