Kementerian Kewangan (MoF) mengambil maklum laporan media berkaitan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan mentah makanan haiwan.
Sebagai langkah memastikan kestabilan harga barangan, makanan asas seperti ayam, telur dan daging telah dikecualikan daripada Cukai Jualan. Selain itu, makanan haiwan1 termasuk kacang soya mentah yang merupakan komponen utama dalam penghasilan makanan haiwan telah juga dikecualikan daripada Cukai Jualan. Keputusan ini dibuat berdasarkan maklum balas industri bahawa kacang soya merupakan input utama dalam penghasilan makanan haiwan.
Bagi bahan mentah lain yang turut digunakan dalam formulasi makanan haiwan, MoF sedang meneliti isu ini secara menyeluruh, termasuk melalui sesi libat urus dan semakan teknikal bersama pihak berkepentingan.
Kerajaan MADANI kekal tekad untuk memastikan dasar percukaian yang lebih adil, mampan, dan menyokong daya saing sektor penternakan negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
12 September 2025
______________________________________
1 Sila rujuk jadual di Lampiran