Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Malaysia dan Amerika Syarikat Mengukuhkan Hubungan Percukaian Dua Hala Menerusi Pelaksanaan FATCA

Malaysia dan Amerika Syarikat Mengukuhkan Hubungan Percukaian Dua Hala Menerusi Pelaksanaan FATCA

Perjanjian Intergovernmental Agreement antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat telah ditandatangani pada 21 Julai 2021 oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg Dato’ Asri bin Hamidon dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Tuan YangTerutama Brian McFeeters telah berlangsung secara serentak di Putrajaya dan Kuala Lumpur, dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar bin Abdullah. Pemuktamadan perjanjian ini menunjukkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara. Menerusi perjanjian ini, Malaysia menyertai 113 negara yang telah melaksanakan pelaksanaan Foreign Account Tax Compliance Act (FATCA).

FATCA merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat bagi menambahbaik amalan pertukaran maklumat berkaitan percukaian, khususnya melibatkan warga Amerika Syarikat. Dalam konteks Malaysia, inisiatif ini merupakan pelengkap kepada usaha yang dilakukan menerusi penyertaan di forum antarabangsa yang diterajui oleh Organisation for Economic and Cooperation Development (OECD) untuk terus meningkatkan ketelusan percukaian berdasarkan amalan terbaik.

Pelaksanaan FATCA merupakan kejayaan daripada hasil siri perbincangan antara kedua-dua negara, berdasarkan keperluan untuk mempunyai mekanisme yang lebih efektif bagi memudahkan pertukaran maklumat. Dalam ucapannya, YB Tuan Mohd Shahar bin Abdullah menekankan bahawa selaras dengan perkembangan terkini sistem percukaian antarabangsa, penambahbaikan dalam ketelusan dan amalan pertukaran maklumat cukai antara negara memerlukan kerjasama yang lebih meluas, terutamanya dalam menangani isu pengelakan cukai dan pelarian cukai. TYT Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters, dalam ucapan balas menyatakan bahawa pemuktamadan FATCA merupakan antara detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia – Amerika Syarikat, dan menghargai usaha yang telah dilakukan oleh institusi perbankan Malaysia berhubung aspek pematuhan yang menunjukkan kecemerlangan mereka selaku institusi bertaraf dunia.

Perjanjian FATCA ini juga adalah sangat penting ke arah usaha Malaysia untuk mengadakan perjanjian percukaian secara bilateral yang lebih komprehensif dan akan memberi manfaat kepada pembayar cukai Malaysia dan Amerika Syarikat.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
21 Julai 2021

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility