Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Malaysia Kekal Di Dalam World Government Bond Index (WGBI) FTSE Russell

 Malaysia Kekal Di Dalam  World Government Bond Index (WGBI) FTSE Russell

Malaysia terus dikekalkan di dalam World Government Bond Index (WGBI) yang diterbitkan oleh FTSE Russell, seperti yang dilaporkan di dalam Fixed Income Country Classification Announcement for March 2021. Sebelum ini, Malaysia telah disenaraikan di dalam WGBI Watch List sejak April 2019.

FTSE Russell merupakan penyedia indeks pasaran saham dan perkhidmatan data yang dimiliki sepenuhnya oleh Bursa Saham London. Sementara itu, WGBI adalah penanda aras merangkumi penerbitan bon kerajaan dari lebih 20 negara utama di dalam pelbagai mata wang, yang digunakan secara meluas.

Malaysia merupakan sebahagian daripada WGBI sejak Julai 2007 dan pengekalan Malaysia di dalam WGBI adalah bukti keberkesanan pelbagai polisi dan inisiatif yang bertujuan untuk terus meningkatkan aksesibiliti dan kecairan pasaran. Kementerian Kewangan (MOF) ingin mengiktiraf usahasama berterusan semua pihak yang berkaitan terutamanya Bank Negara Malaysia (BNM), Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM) atas usahasama yang berterusan dalam membangunkan pasaran kewangan Malaysia.

Melalui kerjasama dengan BNM dan FMAM, MOF juga aktif di dalam pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk menggubal polisi bagi meningkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia disokong oleh tadbir urus dan ketelusan yang lebih baik melalui usaha penyelarasan pematuhan, peraturan dan keperluan operasi bagi pelabur domestik dan asing.

Keputusan FTSE Russell merupakan pengiktirafan kekukuhan pasaran bon Kerajaan Malaysia serta asas makroekonomi dan daya tahan negara yang baik. Sejak akhir April 2019, aliran masuk asing terkumpul ke dalam pasaran bon Kerajaan Malaysia berjumlah RM48.6 bilion1; di mana RM22.7 bilion adalah antara akhir April hingga Disember 2019, RM17.2 bilion pada tahun 2020 dan RM8.8 bilion dari Januari hingga akhir Februari tahun ini. Pemegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia juga meningkat kepada 24.7% pada Februari 2021, berbanding 21.9% pada April 2019.

Pada akhir 20202, lebih daripada separuh jumlah pemegangan asing dalam bon Kerajaan terdiri daripada pelabur jangka panjang seperti bank pusat dan kerajaan lain pada 31.5%, dana persaraan pada 17.7% dan syarikat insurans pada 2.6%. Dari segi pelabur domestik3, pemegangan dalam bon kerajaan disokong oleh kecairan yang mencukupi dari institusi perbankan serta pelabur institusi domestik.

MOF akan terus bekerjasama dengan BNM, FMC, SC, Bursa Malaysia dan FMAM untuk membangunkan lagi pasaran kewangan Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di persada pelaburan dunia.


 

YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
30 Mac 2021

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility