Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Malaysia Kekalkan Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network) bagi Pelaksanaan Rangkaian 5G Nasional

Malaysia Kekalkan Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network) bagi Pelaksanaan Rangkaian 5G Nasional

Kerajaan pada 11 Mac 2022 dalam Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri telah menimbang Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan bersama oleh Kementerian Kewangan (“MOF”) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (“KKMM”) berhubung kaedah terbaik pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

Setelah mengambil kira pelbagai opsyen yang dikemukakan serta laporan dan pandangan pemegang taruh, maka kerajaan mengambil keputusan untuk mengubah dan menambah baik tatacara pelaksanaan perkhidmatan rangkaian 5G yang dilaksanakan secara Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network -- “SWN”).

Antara perubahan utama ialah, Digital Nasional Bhd (DNB) disusun semula dengan membuka pegangan sahamnya sehingga 70 peratus oleh semua MNO yang mempunyai pengalaman mengendalikan spektrum di negara ini. Pemilikan, nilai ekuiti dan aspek lain berkaitan cadangan penyertaan ekuiti ini adalah tertakluk kepada rundingan antara DNB dan syarikat-syarikat telekomunikasi, di mana perjanjian disasarkan untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Penyertaan syarikat-syarikat telekomunikasi dalam DNB membolehkan mereka terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara. Pengalaman syarikat telekomunikasi dalam membangunkan rangkaian 3G dan 4G di Malaysia juga boleh membantu dalam melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

Selain itu, pelaksanaan model SWN ini akan memastikan tiada implikasi kewangan tambahan ke atas kontrak yang telah termeterai dengan penyedia perkakasan rangkaian yang dilantik iaitu Ericcsson (Malaysia) Sdn. Bhd. yang telah merangka pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan perkhidmatan bagi vendor tempatan, dengan anggaran 61% daripadanya dapat memanfaatkan kepentingan Bumiputera.

Pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G merupakan tonggak utama ke arah merealisasikan aspirasi ekonomi digital negara, seperti yang terkandung di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Pendekatan perkongsian awam-swasta Keluarga Malaysia ini juga akan memudahkan DNB mencapai sasarannya untuk meliputi 80 peratus kawasan berpenduduk negara menjelang 2024, di mana 5G akan dibekalkan pada harga borong kurang daripada RM0.20 setiap Gigabait (GB), lebih rendah daripada kos semasa untuk menghasilkan 4G.

“Ekonomi digital menyediakan peluang baharu yang luar biasa kepada Malaysia terutamanya dalam mempercepatkan kesalinghubungan di seluruh negara dalam era pasca pandemik ini, untuk memudahkan usaha pemulihan serta pencapaian status negara berpendapatan tinggi. Pelaksanaan 5G akan memacu transformasi sosio- ekonomi negara dan ini dianggarkan akan menyumbang sebanyak RM650 bilion kepada nilai KDNK sehingga 2030. Pengekalan model SWN juga merupakan pendirian tegas Kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia. Ia juga melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh, serta ekosistem pembiayaan sektor swasta yang mantap, yang secara keseluruhan akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” kata YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan.

Dengan mengumpulkan kesemua spektrum yang dikenalpasti untuk 5G bagi penggunaan eksklusif DNB, pemain industri yang melanggan perkhidmatan secara borong akan dapat memberi kualiti perkhidmatan yang tinggi hasil penggunaan spektrum yang optimum. Satu rangkaian juga akan memastikan penjimatan kos. Penjimatan kos ini akan dikongsi dengan pemain industri dan seterusnya kepada pengguna perkhidmatan 5G.

“Rakyat seharusnya menikmati akses kepada perkhidmatan 5G berkualiti tinggi secara adil, saksama dan pada harga berpatutan, terutamanya untuk membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik di tahun-tahun akan datang. Model SWN akan membantu merapatkan 'jurang digital' bandar-luar bandar bagi membolehkan kesemua Rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan 5G berkualiti tinggi dan dibekalkan secara meluas kepada mereka melalui syarikat telekomunikasi," kata Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Pengekalan SWN ini secara langsung meneruskan semua perancangan, pembelian peralatan dan pelantikan syarikat tempatan dalam melaksanakan kerja pembangunan rangkaian. Ia juga akan mengekalkan kontrak dengan pembekal peralatan yang dipilih secara tender terbuka berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.

DNB seterusnya akan dikawal selia oleh KKMM selaku Kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri komunikasi melalui SKMM, sepertimana syarikat- syarikat telekomunikasi lain. MOF pula akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.


KEMENTERIAN KEWANGAN dan KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA
Putrajaya
16 Mac 2022

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility