Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Malaysia Mencatat Pertumbuhan Kukuh 8.7% Untuk Tahun 2022

Malaysia Mencatat Pertumbuhan Kukuh 8.7% Untuk Tahun 2022

Ekonomi Malaysia merekodkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.7% untuk tahun 2022, melebihi anggaran 6.5% - 7.0% yang dibuat pada bulan Oktober 2022. Prestasi pertumbuhan ini juga jauh melebihi pertumbuhan ekonomi 3.1% yang dicapai tahun 2021.

"Pencapaian pertumbuhan 8.7% untuk tahun 2022 disokong oleh prestasi ekonomi yang kukuh pada suku keempat tahun 2022 yang antara lain melihat pemulihan perbelanjaan dan pelaburan swasta, penurunan pengangguran serta pengukuhan matawang Ringgit. Ini jelas menunjukkan pemulihan keyakinan pengguna, perniagaan dan pelabur kepada ekonomi negara,” mengulas YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan prestasi kukuh pada suku keempat 2022 adalah:

  1. Permintaan domestik terus dipacu oleh penggunaan swasta yang disokong oleh prospek pasaran buruh yang lebih baik dan keyakinan perniagaan yang kekal positif. Pasaran buruh mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.6% pada S4 2022 (S3 2022: 3.7%).

  2. Ringgit Malaysia bertambah kukuh 5.3% berbanding dollar Amerika syarikat. Ringgit Malaysia juga telah turut kukuh berbanding rakan perdagangan utama.

  3. Perdagangan luar terus mencatat pertumbuhan dua digit di samping prestasi pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan. Jumlah dagangan berkembang sebanyak 14.8% kepada RM718.7 bilion dengan eksport dan import kasar masing-masing meningkat sebanyak 11.8% dan 18.7%. Malaysia merekodkan FDI bersih sebanyak RM19.3 bilion pada S4 2022 (S3 2022: RM12.3 bilion).

MELANGKAH KE HADAPAN

Pertumbuhan KDNK negara dijangka menyederhana pada 2023, sejajar dengan tinjauan ekonomi global terkini oleh IMF dan Bank Dunia yang menganggar pertumbuhan ekonomi dunia menurun daripada 3.4% tahun 2022 kepada 2.9% pada tahun 2023.

“Dengan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, Belanjawan 2023 akan menggariskan strategi Kerajaan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta keyakinan sektor swasta bagi meneruskan momentum pertumbuhan yang dicapai pada tahun 2022 demi kesejahteraan rakyat,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.


Putrajaya
10 Februari 2023

 

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility