Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Memorandum Persefahaman Malaysia–Indonesia Dalam Sektor Perkastaman Bakal Meningkatkan Perdagangan Dua Hala

Memorandum Persefahaman Malaysia–Indonesia Dalam Sektor Perkastaman Bakal Meningkatkan Perdagangan Dua Hala

Kementerian Kewangan dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Republik Indonesia (DJBC) telah memuktamadkan sebuah Memorandum of Understanding between the Government of Malaysia and The Government of the Republic of Indonesia on Cooperation and Mutual Administrative Assistance on Customs Matters (MOU). 

MOU ini telah ditandatangani oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan Republik Indonesia, Ibu Sri Mulyani Indrawati pada hari ini di Istana Bogor, Indonesia. Majlis ini telah disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob dan Presiden Republik Indonesia, Yang Terhormat Bapak Joko Widodo.

Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz berkata, “Dengan termeterainya MOU ini, hubungan di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Indonesia yang diwakili oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) Indonesia dari segi pentadbiran dan penguatkuasaan antara lainnya, akan terus diperkasakan. Pelaksanaan MOU ini juga pastinya akan menguntungkan pengeksport dan pengimport kedua-dua negara dan akan menyumbang kepada peningkatan jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia.”

Pelaksanaan MoU tersebut akan membolehkan pentadbiran Kastam kedua-dua negara untuk meraih pelbagai manfaat untuk kepentingan bersama termasuk:

  1. Memperkukuhkan kerjasama terutamanya dalam menangani isu-isu perdagangan berkaitan dengan hal-hal perkastaman antara dua negara;

  2. Mempromosikan penggunaan piawaian-piawaian antarabangsa dan juga amalan-amalan terbaik berkaitan dengan hal-hal perkastaman yang menjurus ke arah merealisasikan pembangunan ekonomi negara;

  3. Mengukuhkan pembangunan sumber manusia (human resource development) dan pembangunan keupayaan (capacity building) bagi memodenkan amalan-amalan perkastaman di dalam pentadbiran kastam kedua-dua negara;

  4. Mempromosi kerjasama fasilitasi perdagangan melalui pembangunan teknikteknik perkastaman dan juga aplikasi ICT di dalam kerjasama perkastaman; dan

  5. Mengusahakan kerjasama ke arah pelaksanaan World Customs Organization (WCO) SAFE Framework of Standards yang meliputi pertukaran maklumat perkastaman.

MOU ini yang berbentuk Smart Partnership akan mewujudkan situasi win-win yang merupakan salah satu syarat utama persetujuan Memorandum di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Indonesia.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
10 November 2021

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility