Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Menteri Kewangan: Isu Covid-19

Menteri Kewangan: Isu Covid-19

Lanjutan daripada pengumuman khas YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, MOF sedang bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia bagi memastikan pasaran modal dan kewangan terus berfungsi secara telus dan teratur.

Pandemik Covid-19 yang berterusan telah melemahkan kedudukan ekonomi global sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Ekonomi Malaysia semestinya tidak terkecuali daripada cabaran yang melanda ekonomi dunia ini, memandangkan kebanyakan pasaran global dan hampir kesemua industri menerima kesan pada kadar yang berbeza. Dalam keadaan yang masih tidak menentu ini, volatiliti dalam pasaran modal dan kewangan adalah dalam jangkaan.

Ini bukanlah kali pertama negara kita berhadapan dengan cabaran besar yang melanda ekonomi negara. Selama ini, kita terus memperkukuhkan prasarana, peraturan, proses dan penampan pasaran modal dan kewangan negara untuk menghadapi volatiliti dan ketidaktentuan seperti yang dialami sekarang ini.

Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia telah bertindak secara proaktif dalam memantau penularan wabak Covid-19 di dalam negara dan pada peringkat global bagi menilai kesannya dan akan terus menilai tindakan sewajarnya untuk mengekalkan integriti dalam pasaran modal dan kewangan. Kementerian Kewangan juga akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi dan kementerian-kementerian lain untuk memastikan pasaran modal dan kewangan Malaysia kekal telus, cekap dan berdaya saing.


YB TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL AZIZ
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
17 Mac 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility