Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Mesyuarat bersama Pelabur di New York, Amerika Syarikat 14 hingga 16 April 2024

Mesyuarat bersama Pelabur di New York, Amerika Syarikat 14 hingga 16 April 2024

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Bersama Pelabur di New York dari 14 - 16 April 2024, bersempena dengan kehadiran beliau dalam Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund – IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group – WBG) 2024 di Washington D.C., Amerika Syarikat dari 17 - 19 April 2024.

“Pelabur menunjukkan minat yang tinggi untuk memahami asas dan potensi ekonomi Malaysia serta kemajuan melaksanakan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI. Keyakinan pelaburan lebih kukuh ekoran pembaharuan fiskal yang telah dilaksanakan Kerajaan termasuk mengurangkan defisit, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penyasaran subsidi seperti elektrik dan air,” ulas Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal ini diadakan untuk memberi penerangan mengenai kedudukan semasa ekonomi dan perancangan Kerajaan untuk terus mengukuhkan kewangan negara serta memudahcarakan pelaburan. Pertemuan bersama pelabur antarabangsa seperti pengurus dana dan bank pelaburan ini juga akan menjelaskan halatuju pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI.

Pada 15 April, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah telah mengadakan sesi libat urus dengan para pelabur. Dalam sesi libat urus bersama pelabur yang dijadualkan di New York pada 16 April 2024, beliau dijangka akan bertemu dengan seramai 50 pelabur global pelbagai bidang industri dan perniagaan Amerika Syarikat.

Sesi libat urus ini adalah penting bagi memberi penjelasan mengenai perkembangan dasar-dasar utama Kerajaan termasuk pembaharuan fiskal untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara.


Kementerian Kewangan
15 April 2024

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility