Mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara

YAB Perdana Menteri hari ini telah mempengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN), bagi memantau perkembangan semasa penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara.

Mesyuarat pada hari ini bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kabinet PPN digantikan dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang akan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak COVID-19 secara holistik. Mesyuarat juga telah memutuskan bahawa PPN akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Julai 2021.

Berteraskan pendekatan whole of nation, MPN akan melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman dan nasihat di dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar dari pandemik ini secara sistematik dan selamat.

Mesyuarat kedua JKKPPN hari ini juga telah memutuskan perkara-perkara berikut, di mana perinciannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat: 

  1. Menambah baik SOP berdasarkan maklumbalas dari antara lainnya, subject matter experts, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan;
  2. Memperkenalkan beberapa kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin; dan
  3. Mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat-syarikat yang telah memberi vaksinasi penuh kepada pekerjanya untuk beroperasi sepenuhnya.

MPN juga akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang telah ditetapkan.

Melangkah ke hadapan, Kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak COVID-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti/pergerakan; kadar dan tempoh kebolehjangkitan; populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam.


Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz
Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara Putrajaya
16 Julai 2021