YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN Ke- 28 (28th ASEAN Finance Ministers Meeting - AFMM), Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-11 (11th ASEAN Finance Ministers’ and Central Bank Governors’ Meeting - AFMGM) serta mesyuarat berkaitan di Luang Prabang, Republik Demokratik Rakyat Laos dari 3 – 5 April 2024.
Mesyuarat membincangkan dan mengambil maklum perkembangan kerjasama kewangan ASEAN seperti Dana Infrastruktur ASEAN (ASEAN Infrastructure Fund – AIF) di bawah agenda Pembiayaan Infrastruktur, Kerjasama Insurans, Pembiayaan Risiko Bencana dan Insurans (Disaster Risk Finance and Insurance – DRFI), Integrasi Kastam, ASEAN Single Window, Pengawalseliaan Insurans, Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Pengganas serta Forum Percukaian ASEAN.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut terlibat dalam pemantauan prestasi Pelan Hala Tuju Kemajuan Integrasi Monetari Dan Kewangan ASEAN (Roadmap for Monetary and Financial Integration of ASEAN – RIA-Fin) termasuk Liberalisasi Akaun Modal, Pembangunan Pasaran Modal, Liberalisasi Perkhidmatan Kewangan, Integrasi Perbankan, Sistem Pembayaran dan Penyelesaian Serta Keterangkuman Kewangan.
Selain itu, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut memaklumkan dalam mesyuarat mengenai agenda dan tumpuan utama Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN seterusnya menjemput Menteri-Menteri Kewangan ASEAN dan Rakan Dialog untuk hadir semasa kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun 2025.
Mesyuarat-mesyuarat ini juga turut dihadiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), YBhg. Datuk Shaik Abdul Rasheed Bin Abdul Ghaffour.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
3 April 2024