Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund – IMF) Dan Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group – WBG) 2024 17 April Hingga 19 April 2024

Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund – IMF) Dan Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group – WBG) 2024 17 April Hingga 19 April 2024

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund – IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group – WBG) 2024 di Washington D.C., Amerika Syarikat dari 17 April hingga 19 April 2024.

Mesyuarat ini merupakan platform untuk membincangkan hal ehwal berkaitan hubungan dua hala dan pelbagai hala di antara Malaysia dengan WBG dan IMF serta negara-negara anggota yang lain. Negara-negara anggota juga akan berkongsi pendapat berhubung pelaksanaan strategi dan dasar negara masing-masing dalam menangani isu-isu semasa ekonomi dan kewangan global dalam sidang plenari dan sesi perbincangan semasa Mesyuarat Mengenai Persefahaman Tindakan Iklim Menteri-Menteri Kewangan (Meeting on Coalition of Finance Ministers for Climate Action - CFMCA).

"Bagi menyambut usaha tindakan perubahan iklim global, Malaysia menyasarkan untuk mencapai keseimbangan melalui pelaksanaan mekanisme penetapan harga bahan api yang bersesuaian dalam mendorong kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan peralihan kepada tenaga boleh baharu; tetapi pada masa yang sama mengambil kira impak sosio-ekonomi terhadap rakyatnya.

"Pendekatan ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan amalan lestari tanpa membebankan rakyatnya," kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Pada sela-sela Mesyuarat Musim Bunga ini, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengadakan sesi libat urus dengan Agensi-agensi Penarafan Kredit (Credit Rating Agencies – CRA) antaranya Standard and Poors (S&P), Moody’s dan Fitch. Selain daripada itu, YB Senator Amir Hamzah turut berkongsi dan bertukar pandangan dengan ketua delegasi daripada negara-negara anggota yang lain berkenaan perkembangan ekonomi negara dan global melalui mesyuarat-mesyuarat dua hala yang telah dijadualkan.

Beliau mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan IMF dan WBG untuk membincangkan hala tuju program dan aktiviti yang dilaksanakan di bawah kerjasama Malaysia dengan IMF dan WBG.

Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Musim Bunga IMF dan WBG ini penting sejajar dengan komitmen berterusan negara dalam usaha menggiatkan pertumbuhan secara bersama, khususnya dalam perkembangan ekonomi serantau dan global.


Kementerian Kewangan
18 April 2024

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility