Jawatankuasa Dasar Fiskal 2020 yang berlangsung pada 30 September telah dipengerusikan buat pertama kalinya oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, untuk meneliti kedudukan fiskal Kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana. Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai oleh YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamaed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Dato’ Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia, dan YBhg. Dato’ Saiful Anuar bin Lebai Hussen, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Situasi ekonomi global pada tahun ini adalah amat mencabar berikutan pandemik COVID-19. KDNK Malaysia telah menyusut sebanyak 8.3% pada separuh tahun pertama 2020, namun dijangka lebih baik bagi tempoh separuh kedua dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi serta pelaksanaan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi.
Jawatankuasa telah membincangkan anggaran dan prospek pertumbuhan ekonomi, serta kedudukan fiskal Kerajaan bagi penyediaan Belanjawan 2021. KDNK dianggar menguncup antara 5.5% hingga 3.5% pada tahun ini dan dijangka kembali pulih dengan pertumbuhan antara 5.5% hingga 8% pada tahun 2021.
Ahli jawatankuasa turut membincangkan langkah-langkah untuk membantu rakyat dan menyokong perniagaan serta memastikan tanggungjawab fiskal dengan mengambil pendekatan yang seimbang diambil kira dan pada masa sama, mengambil langkah bagi menyokong momentum pemulihan dengan fokus untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan yang terjejas teruk berikutan krisis ini. Ini adalah bagi memastikan kesinambungan dan keberkesanan pakej-pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN. Langkah- langkah untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi sedang diperinci dan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020.
Defisit fiskal berbanding KDNK bagi tahun 2020 dianggarkan mencatat sasaran 5.8% hingga 6% dan paras ini dijangka terus berkurangan pada tahun 2021. Langkah konsolidasi fiskal akan dilaksanakan secara lebih berhemah mengambil kira tahun 2021 merupakan tahun peralihan fasa pemulihan krisis COVID-19.
Kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah diluluskan dan langkah- langkah di bawah pakej rangsangan dilaksana dengan segera bagi membantu negara pulih dari krisis pandemik ini secepat yang mungkin. Di samping itu, Jawatankuasa bersetuju untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi terutama merancak dan menarik pelaburan berkualiti yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda (multiplier effect) kepada ekonomi.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
30 September 2020