MOF komited untuk memperuntukkan RM400 bilion bagi perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025)

MOF komited untuk memperuntukkan RM400 bilion bagi perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025)

Susulan kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada 27 September 2021, Kementerian Kewangan (MOF) secara dasarnya komited untuk menyediakan peruntukan kewangan secukupnya bagi membiayai perbelanjaan pembangunan RMKe-12 bagi tempoh 2021 – 2025.

MOF menyokong penuh objektif RMKe-12 yang merupakan rangka tindakan yang bertujuan untuk mengembalikan pertumbuhan ekonomi ke landasan yang mampan, memperkukuhkan keterangkuman sosio-ekonomi dan meningkatkan kelestarian alam sekitar.

Selaras dengan tema RMKe-12 iaitu Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan, MOF akan menyelaraskan bidang-bidang keutamaan Bajet 2022 dengan fokus utama RMKe-12. Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan, atau 3R iaitu Recovery, Resilience, Reform.

Peruntukan perbelanjaan pembangunan (Development Expenditure/DE) untuk RMKe12 dianggarkan berjumlah RM400 bilion. Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding RM248.5 bilion bagi RMKe-11. Peruntukan DE bagi Bajet 2022 juga akan dipertingkatkan demi memacu aktiviti pemulihan sosio-ekonomi dan agenda pembangunan negara.

Antara fokus Bajet 2022 adalah untuk :

  1. Memulih dan membina semula daya ketahanan negara bagi menangani krisis pada masa depan antara lainnya dengan memperkukuhkan sistem kesihatan awam. Sehubungan itu, Bajet 2022 akan menyokong strategi RMKe-12 untuk meningkatkan kesiapsiagaan hospital negara serta kapasiti ICU, termasuk melalui usahasama dengan penyedia kesihatan swasta.
  2. Membina daya tahan negara melalui konsep keterangkuman, terutamanya dari segi mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat dan jurang pembangunan terutamanya antara negeri.

MOF juga akan memangkin pembaharuan selaras dengan dasar dan strategi yang diutarakan dalam RMKe-12. Sehubungan itu, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, program JENDELA serta meningkatkan pengamalan digital terutamanya oleh PKS. Fokus RMKe-12 kepada pembangunan lestari juga akan disambut dalam Bajet 2022 ke arah mencapai net zero carbon emissions, contohnya melalui dasar menggalakkan kenderaan elektrik (EV).

Seterusnya, dengan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), pendigitalan dan penggunaan teknologi akan menjadi keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. Selain itu, dasar ini juga adalah seiring dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam jangka masa sederhana termasuk melalui pelaksanaan kerangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), dan juga inisiatif transformasi syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) di bawah program PERKUKUH Pelaburan Rakyat.

Bagi memastikan ruang fiskal yang mencukupi untuk membiayai kesemua program-program pembangunan di bawah RMKe-12, Kerajaan kekal komited terhadap langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Fiskal Jangka Sederhana dan disokong Strategi Hasil Jangka Sederhana untuk meluaskan asas cukai serta meningkatkan kemampuan keberhutangan kerajaan.

Dalam jangka masa pendek, terdapat keperluan untuk meningkatkan had statutori hutang bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam menyokong pembukaan sektor-sektor ekonomi dan memastikan pemulihan yang mampan. Walaupun ini akan meningkatkan sasaran defisit Malaysia yang dianggarkan meningkat kepada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021, namun Kerajaan tetap komited untuk langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana. Selain itu, cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal atau Fiscal Responsibility Act (FRA) juga akan membantu meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara.

Keutamaan semasa Kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman COVID19, dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang. Keutamaan ini bukan sahaja akan dilaksanakan selari dengan teras-teras RMKe-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, tetapi juga akan berteraskan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah bagi mendepani situasi COVID19 yang mencabar serta meminimumkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Kementerian Kewangan
28 September 2021