Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Moody’s Mengekalkan Penarafan dan Unjuran Stabil Malaysia

Moody’s Mengekalkan Penarafan dan Unjuran Stabil Malaysia

Moody's telah mengekalkan penarafan mata wang tempatan dan asing jangka panjang Malaysia pada A3 dengan unjuran stabil. Pengekalan penarafan adalah pengesahan terhadap kekukuhan kawalan disiplin fiskal negara serta prospek pertumbuhan jangka sederhana yang mampan, yang disokong dengan keberkesanan langkah membendung pandemik COVID-19.

Ini juga mencerminkan keyakinan Moody’s terhadap Malaysia dalam kitaran penilaian penarafan kredit yang mencabar di peringkat global, di mana agensi-agensi penarafan kredit antarabangsa telah melaksanakan lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak bermulanya pandemik tersebut.

Pandemik COVID-19 ini sememangnya merupakan satu titik penentu pada tahun 2020, yang telah memberikan cabaran getir kepada kerajaan di seluruh dunia dalam menangani krisis kesihatan awam dan kemelesetan ekonomi secara serentak. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi global menguncup 3.5% pada tahun 2020, dan dianggarkan bakal mengalami kerugian sebanyak USD22 trilion bagi tempoh 2020-2025. Sehingga kini, pakej rangsangan ekonomi global berjumlah sekitar USD12 trilion telah dilaksanakan oleh pelbagai kerajaan dan hutang awam global dijangka mencecah 100% daripada KDNK pada tahun 2020.

Kerajaan Malaysia sendiri telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif dengan nilai RM305 bilion atau sekitar 20% daripada KDNK. Keempat-empat pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh Kerajaan sepanjang tahun 2020 dianggarkan dapat menyumbang sehingga empat mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK negara, serta menetapkan ekonomi negara pada landasan pemulihan, dengan sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.5% hingga 7.5% pada tahun 2021. Unjuran ini adalah seiring dengan unjuran agensi antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia, masing-masing pada kadar 7.0% dan 6.7%.

Moody’s turut mengiktiraf kredibiliti dan keberkesanan struktur rangka institusi negara, khususnya dalam pelaksanaan dasar-dasar makroekonomi. Ini terbukti dengan pelaksanaan teratur dan sistematik langkah-langkah dasar oleh 53 Kementerian dan Agensi sejak bulan Mac 2020. Pelaksanaan dasar juga dipantau dengan teliti, di mana laporan mingguan disiarkan oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan bagi memastikan aspek ketelusan dalam perbelanjaan awam.

Komitmen Kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan langkah dasar ini juga ditunjukkan dengan penggubalan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion, iaitu belanjawan terbesar di dalam sejarah negara. Seterusnya, usaha ini juga dipertingkatkan dengan pelaksanaan Pakej Bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion baru-baru ini yang telah memperkenalkan langkah baharu, serta menambah baik inisiatif sedia ada menerusi pertambahan peruntukan, pelaksanaan yang dipercepatkan atau peluasan skop pelaksanaan. Pakej PERMAI juga bertujuan merapatkan jurang pelaksanaan antara pemberian bantuan segera kepada rakyat yang terkesan dengan bencana banjir dan pelaksanaan PKP, dengan pelaksanaan Belanjawan 2021.

Melangkah ke hadapan, usaha pemulihan ekonomi negara akan terus dipacu oleh ekosistem perkhidmatan kesihatan awam, yang telah diperkukuhkan menerusi Pakej Bantuan PERMAI. Selain daripada usaha menangani pandemik COVID-19 yang telah berjaya membolehkan Malaysia mencapai nisbah kes kematian kurang dari 0.4%, iaitu dalam lingkungan 5% terendah di dunia, pemulihan ekonomi juga akan didorong dengan pelaksanaan program vaksinasi COVID-19. Program ini dijangka bermula pada awal Mac dan akan dilaksanakan secara berfasa di antara 12 hingga 18 bulan, di mana lebih daripada 80 peratus rakyat Malaysia atau hampir 27 juta individu dijangka akan diinokulasi pada suku pertama 2022.

Peningkatan permintaan luaran daripada rakan dagangan utama, dan kepelbagaian sektor ekonomi negara serta pelaksanaan berterusan projek infrastruktur dengan kesan pengganda tinggi akan memperkukuh pertumbuhan dan daya tahan ekonomi. Usaha Kerajaan menggalakkan pendigitalan dan pengadaptasian teknologi, serta insentif cukai dan pelaburan, akan mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih serta meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi negara pada jangka panjang. Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 - 2025) akan menyediakan rangka tindakan untuk pertumbuhan yang mampan, yang bertujuan untuk mengukuhkan prinsip keterangkuman sosioekonomi dan menjamin kelestarian alam sekitar.

Kerajaan kekal komited ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana serta memastikan kemampanan fiskal negara. Sepanjang dekad yang lalu, Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7% kepada 3.4% daripada KDNK. Defisit fiskal tahun 2020 dijangka antara yang terendah berbanding negara berpenarafan kategori A- yang lain, hasil usaha penyusunan semula peruntukan perbelanjaan yang berkesan. Ini merupakan suatu pencapaian yang baik dalam suasana yang amat mencabar ini. Kerajaan mensasarkan pengurangan defisit dari 6% daripada KDNK pada tahun 2020 kepada 5.4% daripada KDNK pada tahun 2021, seterusnya mengurangkan defisit fiskal kepada purata 4.5% daripada KDNK dalam jangka sederhana. Inisiatif reformasi utama ini akan berpandukan kepada Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) serta penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal, bagi menambah baik disiplin, tadbir urus serta ketelusan fiskal berdasarkan amalan antarabangsa.

Penarafan kredit negara kekal kukuh, disokong oleh kedudukan luaran yang berdaya tahan serta pasaran bon domestik yang maju. Malaysia telah mencatat lebihan akaun semasa yang konsisten sejak dua dekad yang lalu dengan rizab antarabangsa yang mencukupi dan pemegangan aset luaran oleh institusi kewangan dan syarikat korporat yang tinggi, serta kedudukan aset mata wang asing bersih berjumlah RM1 trilion atau 71.8% daripada KDNK. Kadar tukaran asing yang fleksibel juga mencerminkan kemampuan Malaysia untuk menyerap sebarang kejutan luaran. Selain itu, daya tahan terhadap kejutan luaran dan turut disokong oleh kecairan pasaran modal Malaysia yang tinggi dan mendalam dengan permintaan ke atas terbitan sekuriti Kerajaan yang kekal tinggi.

Dari sudut pengantaraan kewangan, kedudukan institusi perbankan di Malaysia adalah lebih kukuh berbanding tahun-tahun terdahulu, hasil pembinaan penampan modal serta amalan pengurusan risiko yang baik. Ini akan terus meletakkan sistem perbankan pada kedudukan yang baik untuk menyokong aktiviti pembiayaan dan ekonomi secara keseluruhannya.

Melangkah ke hadapan, Kerajaan yakin dengan asas ekonomi yang kukuh, disiplin fiskal yang baik serta langkah dasar yang berkesan akan membantu negara dalam menangani cabaran suasana pandemik COVID-19 ini secara strategik dan proaktif, seterusnya mengurangkan kesan negatif berkekalan ke atas ekonomi akibat pandemik ini bagi meletakkan negara dalam landasan yang kukuh untuk pemulihan ekonomi.


YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
28 Januari 2021

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility